The Malaysia Post

Tiga beregu, Liew Darren ke suku akhir Masters Sepanyol

Tiga beregu dan seorang pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Sepanyol selepas melepasi saingan pusingan kedua di Barcelona, awal hari ini.

Beregu lelaki nombor satu negara,  Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati status sebagai pilihan kedua apabila hanya mengambil masa 27 minit untuk menewaskan pasangan Jerman, Bjarne Geiss-Jan Colin Volker, 21-15, 21-18 di Pusat Sukan Olimpik Vall D’Hebron.

Pasangan negara itu akan membuat perhitungan dengan satu lagi wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di peringkat suku akhir esok.

Bagaimanapun, beregu kedua negara, Gog Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada beregu pilihan kelima, Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan, 21-17, 19-21, 18-21 dalam pertarungan selama sejam.

Pilihan utama acara beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut melangkah ke suku akhir apabila menepis cabaran pasangan India, Pranaav Jerry Chopra-Reddy N. Sikki, 21-16, 17-21, 21-1.

Soon Huat-Shevon Jemie akan berdepan dengan wakil Korea Selatan, Kim Sa Rang-Kim Ha Na di peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, beregu senegara merangkap pilihan kedua, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menerima tamparan apabila disingirkan oleh pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Hsu Ya Ching, 21-19, 21-18 pada pusingan kedua.

Dalam pada itu, beregu wanita negara, Chow Mei Kuang-Lee Meng Yean menempah slot suku akhir selepas menundukkan gandingan senegara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, 21-15, 12-21, 21-16 dalam pertarungan sengit selama 75 minit.

Mei Kuang-Meng Yean, selaku  pilihan keempat, akan menentang pasangan England, Chloe Birch-Lauren Smith untuk memburu tempat ke separuh akhir.

Sementara itu, Liew Daren turut mara mengalahkan pemain Perancis, Lucas Corvee, 21-16, 22-20 sebelum berdepan dengan pemain Denmark, Rasmus Gemke dalam saingan suku akhir.

Kejohanan Super 300 Jelajah Dunia BWF itu menawarkan hadiah keseluruhan US$170,000 (RM706,199).

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Kabinet bincang cadangan larangan kemasukan pelancong China

Read Next

Lensa Snapchat tukar lantai jadi lohong lava

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.