“Social distancing” ataupun penjarakan sosial bermaksud menjauhkan diri dari tempat di mana orang ramai berkumpul, menjarakkan diri dari perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering); atau sekiranya tidak dapat dielakkan, kekalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain.
Walaupun mungkin mengecewakan mendengar bahawa begitu banyak acara sukan, festival, dan perhimpunan lain dibatalkan, ada alasan dari faktor terhadap kesihatan masyarakat untuk tindakan ini. Pembatalan ini membantu menghentikan atau setidaknya melambatkan penyebaran penyakit yang memungkinkan pakar perubatan kesihatan supaya lebih bersedia merawat pesakit dari waktu ke waktu.
Sejauh mana social distancing ini perlu dilaksanakan? Ianya bergantung kepada tahap berapa ramai orang berkumpul di suatu tempat, apatah lagi di suatu tempat tertutup.
Orang ramai disarankan untuk mengelakkan semua perhimpunan keagamaan, korporat, rasmi atau bersifat peribadi. Misalnya berada di pasar raya, pasar awam, pawagam, persidangan, majlis perkahwinan, pusat gym – yang melibatkan orang ramai dan bergerak setempat. Buat masa ini, sebaiknya juga elakkan dari menggunakan pengangkutan awam untuk perjalanan yang tidak penting. Sekiranya tidak dapat dielakkan, langkah-langkah kebersihan perlulah dititikberatkan seperti membasuh tangan, menggunakan hand-sanitizer, dan memakai topeng muka.
Walau bagaimanapun, anda tidak semestinya perlu berkurung sahaja di rumah dalam waktu sebegini. Anda masih boleh lakukan komunikasi sosial tetapi dengan langkah berhati-hati. Contohnya seperti menghadiri perhimpunan peribadi terhad kepada beberapa ahli keluarga atau kawan yang dikenali sahaja. Selain itu, membuat perjalanan menggunakan pengangkutan sendiri, makan di restoran yang terbuka dan duduk dalam jarak yang sepatutnya (bungkus makanan adalah pilihan lebih bijak), membeli-belah di kedai runcit atau pasar raya semasa orang tidak ramai ataupun bersukan di tempat yang terbuka.
Kuarantin Diri
Disebabkan jumlah kes koronavirus di seluruh negara terus meningkat, kementerian kesihatan mendorong orang ramai untuk mengurangkan aktiviti bagi membatasi penyebaran penyakit. Selain cadangan seperti sering mencuci tangan dan menghindari menyentuh mulut atau mata anda, langkah-langkah yang lebih serius dapat diambil untuk menghentikan penyebaran COVID-19, seperti kuarantin diri.
Meskipun tidak semua orang disarankan untuk melakukan kuarantin diri, langkah ini dapat bermanfaat dalam melindungi orang lain dari turut dijangkiti penyakit menular.
Bagi individu yang telah terdedah dengan koronavirus dan yang berisiko terkena COVID-19, boleh mempraktikkan kuarantin diri sendiri. Pakar kesihatan mencadangkan kuarantin diri sendiri dilakukan selama 14 hari. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kuarantin dicadangkan untuk individu yang diyakini telah terdedah kepada penyakit menular seperti COVID-19, tetapi tidak bergejala.