KUALA LUMPUR: Selangor mencatatkan jumlah aduan tertinggi berkaitan kesalahan dalam penjualan barangan keperluan menjelang Aidilfitri tahun ini. Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, negeri ini melaporkan sebanyak 402 aduan, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 281 aduan dan Johor sebanyak 122 aduan.
Aduan ini terhasil dari pelaksanaan Ops Pantau 2025 yang bermula pada 2 Mac lalu, yang bertujuan memastikan peniaga mematuhi undang-undang sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Selangor Rekodkan Aduan Tertinggi Kesalahan Barangan Keperluan Aidilfitri
Selain itu, Azman turut menjelaskan bahawa Johor mencatatkan bilangan kes tertinggi melibatkan pelbagai kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan. Selangor dan Perak turut mencatatkan kesalahan yang membabitkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999, serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
Baca lagi | Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub Meninggal Dunia Malam Tadi
Antara kesalahan paling banyak dilaporkan adalah penandaan harga bagi barangan dan caj perkhidmatan yang tidak mengikut peraturan, penandaan harga barangan harga terkawal, dan penggunaan alat timbangan dan sukat yang tidak memenuhi syarat.
Jumlah aduan terbanyak yang diterima adalah berkaitan isu harga (905), diikuti isu bekalan (257), jualan murah (156), barangan tiruan (78), alat timbang dan sukat (37), serta isu perihal halal (18).
Baca lagi | 10 Aplikasi Barangan Runcit Terbaik di Malaysia
Ops Pantau 2025: Selangor Rekodkan Aduan Tertinggi Kesalahan Barangan Keperluan Aidilfitri
Sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2025 selama 25 hari, KPDN telah mengeluarkan 348 kompaun dengan jumlah rampasan berjumlah RM42,878.52.
Azman menegaskan bahawa pematuhan undang-undang ini sangat penting bagi melindungi hak pengguna serta mengelakkan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang ingkar. Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan lengkap dan tepat melalui saluran yang disediakan, seperti WhatsApp ke 019-848 8000 atau portal e-aduan KPDN di https://e-aduan.kpdn.gov.my/.