Manusia tidak boleh lari daripada menggunakan plastik dalam kehidupan seharian. Dalam tempoh 50 hingga 60 tahun yang lalu, kegunaan plastik telah berkembang untuk menyusup masuk hampir dalam setiap aspek kehidupan kerana sifatnya yang mudah digunakan, ringan dan mudah.
Namun penggunaan plastik yang luas juga menjadi punca pencemaran plastik, iaitu isu global yang tidak dapat dielakkan. Di Malaysia sendiri, dianggarkan secara purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun, dan sebahagian besarnya juga berakhir di lautan. Plastik merupakan komponen yang tidak mudah mereput, dan sebab itulah kita masih boleh melihat plastik yang sudah pun wujud sejak 50 tahun yang lalu.
Terbaharu, para saintis berjaya menemui cara baru untuk menyingkirkan plastik supaya ianya tidak berlonggok di tapak buangan plastik. Para saintis telah mencipta suatu enzim bakteria mutan yang mampu melupuskan botol plastik untuk dikitar semula dalam waktu singkat, iaitu beberapa jam sahaja. Seperti yang difahami, tujuan sebenar di sebalik pembangunan enzim adalah untuk membolehkan sampah atau bahan buangan dapat dikitar semula.
Carbios, iaitu sebuah syarikat berusia hampir satu dekad adalah sebuah syarikat yang telah bertanggungjawab dalam pengeluaran enzim tersebut, dan berharap dapat menjalankan kitar semula berskala industri dalam tempoh masa lima tahun akan datang.
Enzim itu awalnya ditemui di timbunan daun-daunan yang telah terkompos. Dalam uji kaji yang kemudiannya dijalankan, ia dapat mengurangkan botol-botol plastik menjadi blok bangunan kimia. Kemudian, blok ini boleh digunakan untuk membuat botol plastik baharu yang berkualiti tinggi. Setakat ini, belum ada lagi teknik kitar semula yang lain yang dapat melakukan teknik serupa.
Syarikat Carbios telah bekerjasama dengan syarikat besar seperti Pepsi dan L’Oréal untuk mempercepatkan pembangunan enzim tersebut. Kerjasama syarikat-syarikat ini dalam indutri, yang mempunyai pengetahuan umum mampu membawa penciptaan enzim baru ini kemajuan besar dalam bidang kitar semula.
Keupayaan untuk melupuskan plastik seperti ini menyoroti suatu kebarangkalian yang penting. Dunia akan terus menggunakan plastik dalam kehidupan seharian tanpa perlu membahayakan alam sekitar, yang menjadi isu global sejak sekian lamanya. Melalui kitar semula adalah langkah penyelesaian terbaik yang mampu mencegah pencemaran yang terhasil daripadanya.
Kajian mengenai enzim terbaru itu dimulai dengan penyaringan 100,000 mikroorganisma yang dilihat sesuai. Senarai ini termasuklah bug pengkompos daun, yang pertama kali ditemukan pada tahun 2012, yang ternyata adalah yang terbaik.
Saintis memperkenalkan pemutasian (mutations) kepada enzim tersebut untuk meningkatkan kemampuan degradasinya, yang termasuk menjadikan enzim stabil pada 72 darjah Celsius – suhu ideal untuk degradasi cepat.
Sebelum enzim digunakan, sisa buangan botol plastik digilingkan dan dipanaskan. Enzim kemudian ditambahkan ke campuran pada suhu yang ideal untuk memberikan hasil yang terbaik. Pasukan Carbios berjaya melupuskan satu tan botol plastik sampah, menurunkannya sekitar 90% dalam masa 10 jam, menggunakan enzim. Bahan kitar semula tersebut digunakan oleh para saintis untuk membuat botol plastik kelas baru. Walau bagaimanapun, keseluruhan proses menjadikan PET kitar semula lebih mahal daripada plastik biasa. Tetapi Martin Stephan, wakil ketua eksekutif di Carbios, menyatakan bahawa plastik kitar semula berkualiti rendah yang ada dijualkan dengan harga premium kerana kekurangan bekalan.
Untuk penggunaan skala industri, Carbios telah mengadakan perjanjian dengan syarikat bioteknologi, Novozymes untuk menghasilkan enzim baru dengan menggunakan kulat. Seperti Carbios, kos enzim hanya 4% dari kos plastik biasa yang terbuat dari bahan api.
Penemuan enzim baru ini bukanlah sesuatu yang baru. Di Eropah, suatu bakteria baru ditemui oleh saintis, iaitu sejenis Pseudomonas (sekumpulan bakteria kuat), digelar sebagai TDA1, bakteria yang diketahui menyukai plastik.