Media sosial hari ini tidak lagi sekadar menjadi ruang bersosial atau tempat mengekspresikan diri, bahkan telah berubah menjadi pentas utama untuk memaparkan segala sisi kehidupan baik yang positif mahupun negatif. Terbaharu, tular satu trend digelar ‘S-Line’ yang telah mencetuskan kebimbangan ramai, khususnya dalam kalangan pendakwah dan pakar psikologi sosial.
Trend S-Line di TikTok ini mula mendapat perhatian apabila ia dikaitkan dengan sebuah drama Korea adaptasi Webtoon bertajuk S-Line. Dalam siri S-Line, watak utama digambarkan memiliki kebolehan melihat “garis merah” di atas kepala individu lain, kononnya mencerminkan jumlah pasangan seksual seseorang. Garisan merah yang dipaparkan di atas kepala individu menunjukkan semakin banyak garisan, semakin tinggi “pengalaman” individu tersebut.
Trend S-Line Merbahaya: Remaja Buat Konten Dedah Aib di TikTok
Fenomena ini mula ditiru oleh segelintir remaja Malaysia di platform seperti TikTok dan Instagram. Mereka memuat naik gambar sendiri dengan suntingan garis merah di atas kepala, seolah-olah berbangga dengan “pengalaman silam” yang berunsur dosa menurut perspektif Islam.
Tindakan para remaja mengikut trend S-Line ini bukan sahaja membuatkan masyarakat terkejut dan risau, malah turut mendapat teguran tegas daripada pendakwah bebas terkenal, PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak. Dalam hantaran di Instagram beliau, PU Syed melahirkan rasa kecewa terhadap trend yang disifatkan sebagai “membuka aib secara sukarela” dan bertentangan dengan prinsip Islam.
“Sekarang telah wujud trend dedah aib sendiri dalam kalangan anak muda. Mereka meletakkan garisan-garisan di atas gambar mereka, seolah-olah bangga dengan perbuatan silam. Ini sangat membimbangkan,” ujar beliau.
Maruah & Aib: Nilai Yang Makin Terhakis – PU Syed
Menurut PU Syed, Islam sangat menekankan penjagaan maruah dan sifat malu dan aib bukanlah satu perkara yang boleh untuk dijadikan bahan tontonan awam atau konten hiburan. Malangnya, perkembangan semasa menunjukkan sebaliknya, di mana norma ini semakin dicabar oleh golongan muda yang lebih mementingkan engagement berbanding integriti diri.
“Aib adalah sesuatu yang kita tidak mahu diketahui oleh orang lain. Malangnya, hari ini ia dijadikan konten. Ini bukan jujur, ini bodoh namanya,” tegas PU Syed lagi.
Beliau menambah, pengakuan terbuka terhadap dosa seperti zina boleh membawa implikasi serius dari sudut hukum syariah. Sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan secara menyeluruh, pengakuan seperti itu boleh membawa kepada hukuman sebat atau rejam.
“Allah dah tutup aib kita. Kenapa kita sendiri nak buka? Kalau betul pernah terlanjur, taubatlah. Taubat itu antara hamba dan Tuhan, bukan untuk dikongsi di media sosial,” kata beliau.
Baca juga:
- Lagu Bukit Mak: PU Syed Beri Amaran kepada Namewee dan Harith Iskander
- Selamba Peluk Pinggang Kak KM, PU Syed Tegur Saiful Apek
PU Syed Tegaskan Peranan Belia Muslim dalam Era Digital
Dalam era digital masa kini, remaja Islam perlu menjadi pengguna media yang bijak dan bertanggungjawab. Tidak semua trend yang tular membawa nilai murni, dan tidak semua konten yang viral seiring dengan prinsip moral dan agama.
Kebebasan bersuara di media sosial harus digunakan dengan bijaksana. Medan maya sepatutnya dijadikan ruang untuk menyebar ilmu, inspirasi dan nilai positif, bukan membuka pekung di dada demi perhatian.
PU Syed menegaskan bahawa jika seseorang benar-benar menyesal atas kesilapan lalu, langkah terbaik ialah memohon keampunan daripada Allah secara peribadi, bukan mencipta konten yang menyingkap kembali dosa silam dengan bangga.
“Macam-macam trend buruk dijadikan ikutan. Ini sangat membimbangkan. Semoga Allah selamatkan kita dan keturunan kita daripada perkara yang menyalahi syarak,” tambah beliau.
Bertaubat Lebih Mulia Daripada Berbangga Ikut Trend S-Line
Setiap manusia tidak terlepas daripada kesilapan, namun ruang untuk bertaubat sentiasa terbuka luas. Islam mengiktiraf proses perubahan dan memperkukuh taubat sebagai bentuk kembali kepada kebaikan. Tetapi itu tidak memberi lesen untuk menjadikan dosa sebagai bahan tontonan.
Bagi generasi muda Muslim, menjadi celik digital bermaksud mengetahui batas dalam menghasilkan kandungan. Trend seperti S-Line bukan sekadar mencemarkan maruah peribadi, tetapi juga membuka pintu kepada kerosakan nilai moral dalam masyarakat.
“Allah Maha Pengampun, tetapi kita mesti menjaga kehormatan diri. Jangan jadikan dosa satu hiburan. Allah dah tutup, kenapa pula kita sendiri nak buka?” – itulah mesej utama yang ingin disampaikan PU Syed.