Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk bersama-sama mempertahankan kemerdekaan yang diraih melalui perjuangan wira-wira silam, menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Perdana Menteri berkata demi cintakan negara, Keluarga Malaysia mesti bersatu dan bekerjasama untuk menjaga dan memelihara kedaulatan negara.
“Selamat Hari Kebangsaan 2022. Keluarga Malaysia Kukuh Bersama. Merdeka! Merdeka! Merdeka!” kata Ismail Sabri menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, hari ini.
Hari Kebangsaan 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Kukuh Bersama’ akan disambut Rabu ini secara besar-besaran bermula jam 7 pagi di Dataran Merdeka, di mana 50,000 pengunjung dijangka hadir.
Pelbagai aktiviti menarik telah diatur untuk sambutan tahun ini yang akan menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Dataran Merdeka dengan menaiki kuda- gerabak ditarik dari Menara DBKL.