The Malaysia Post

PH akan pertimbang lantik semula Dr Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan memberikan pertimbangan yang positif sekiranya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diminta kembali menjadi Menteri Kesihatan untuk mengetuai usaha memerangi penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Menurut laporan Malay Mail, dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjelaskan bahawa dalam waktu kritikal ini, negara memerlukan “profesionalisme, keseriusan dan kewibawaan” dalam usaha memerangi COVID-19.

Tambah beliau saat ini bukan masa untuk “badut” memimpin usaha nasional bagi memerangi penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba semalam mencadangkan rakyat Malaysia supaya minum air suam bagi membuang virus dari kerongkong dan seterusnya dimusnahkan di dalam perut yang berasid, menurut laporan itu.

Dr Adham Baba dikritik kerana dikatakan menyebarkan maklumat yang salah mengenai cara membendung jangkitan COVID-19, dengan menggalakkan meminum air suam yang menurutnya dapat menghalang virus tersebut.

Pengguna Twitter merujuk kenyataan Adham dalam bual bicara yang disiarkan di TV1 petang semalam, dengan ada yang menggesa Adham supaya meletakkan jawatan atau tidak membenarkannya mengeluarkan sebarang kenyataan.

Bekas Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan mencadangkan jawatan menteri kesihatan kembali dipegang oleh bekas menteri kesihatan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Dzulkefly Ahmad. Dzulkefly dipuji atas cara beliau menangani krisis kesihatan negara ketika memegang jawatan itu.

“Ia tidak kelakar. Kita patut kembalikan semula Dr Dzul (Dzulkefly) untuk berkhidmat kepada negara. Kita menghadapi krisis dan ini merupakan jalan penyelesaian yang jelas. Kerajaan sepatutnya melupakan isu politik dan memastikan kita (rakyat) dalam keadaan selamat!” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menolak mitos yang sama pada 26 Februari lalu.

“Walaupun mengekalkan kandungan air dalam badan dengan minum air adalah penting untuk kesihatan keseluruhannya, namun ia tidak menghalang jangkitan koronavirus,” menurut WHO pada hantaran di Twitter.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Malaysia catat kes kematian 4 orang akibat COVID-19

Read Next

Turki usir pelarian ke Greece walaupun pintu sempadan ditutup, gunakan HRW dan New York Times sebagai alat propaganda

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.