The Malaysia Post

Perumpamaan wanita dalam bahasa dan sosiobudaya Melayu

Mutakhir ini, kita sering dipertontonkan dengan kemunculan SJW dalam Feminazi, juga perjuangan seksualiti songsang wanita yang digambarkan kononnya sebagai perjuangan mengangkat martabat wanita melawan penindasan para patriarki.

Namun apa yang hilang dalam pemaknaan dan tidak dipedulikan antaranya adalah penghargaan nilai terhadap wanita sejagat, lebih-lebih lagi nilai wanita dalam sosiobudaya Melayu.

Sebenarnya, penghargaan budaya Melayu terhadap personaliti dan watak wanita kami banyak digambarkan dalam laras bahasa yang mengagumkan. Paras rupa dan kecantikan wanita Melayu diumpamakan dalam nada bahasa yang begitu halus dan berseni sekali penzahirannya.

Alam semulajadi banyak menjadi rujukan orang Melayu terdahulu apabila mahu memberi gambaran indah tentang wanita. Ia menjadi rujukan kerana Alam Melayu sendiri dipenuhi dengan keindahan alam semulajadi yang memukau dan menakjubkan.

Jika difahamkan secara literal, ia mungkin dilihat sebagai objektifikasi wanita, namun sebenarnya ia merupakan satu penghormatan kepada kaum hawa, pujian halus dan tersembunyi namun menonjol. Melalui medium Bahasa Melayu, ada kecerdikan tersendiri bagaimana Melayu menggambarkan rupa bentuk dan paras rupa wanita-wanitanya secara halus tetapi tulus. Ia kekal berselindung, tetapi jujur memuji.

Such finesse expression is a subtle yet profound statement about our Malay women since a long time ago.

Kita biasa sahaja mendengar misalnya “Pipi bak pauh dilayang”, atau “Rambut ikal mayang mengurai” misalnya, namun ada banyak lagi yang analogi seumpamanya digunakan budaya Melayu seperti berikut;

1. “Dahi sehari bulan”
Seperti gambaran bulan yang baru berusia sehari bila masuknya bulan baharu, menggambarkan dahi yang luas dan licin berseri.

2. “Kening awan ditulis”
Perhatikan awan yang berkepul bila dilalui deruan angin, bagai pena yang menulis awan, ada garisan awan yang nipis halus namun menonjol keluar dari awan tersebut. Itulah gambaran bagi bulu kening yang terbentuk dan terletak cantik, hitam dan tajam di hujung mata.

3. “Hidung kuntum melur belum kembang”
Bunga melur adalah antara bunga yang popular menjadi tumbuhan hiasa dan wangian di laman-laman rumah Melayu. Ia bahkan bunga yang ada nilai signifikan di dalam masyarakat India dan Cina. Kuntum bunga melur yang belum kembang terbentuk cantik terletak atas sepalnya membawa perlambangan hidung wanita yang menguntum cantik dan terletak indah.

4. “Mata bintang timur”
Bintang Timur sebenarnya bukan bintang, ia adalah planet Zuhrah. Planet ini pada langit terang waktu pagi akan menyala cerah di langit, menggambarkan mata wanita yang galak dan bersinar indah. Zuhrah atau Venus dalam bahasa Inggeris juga sering menjadi perlambangan wanita secara harfiah dalam budaya Barat.

5. “Telinga telepok layu”
Telepok adalah satu lagi bunga yang sering dijadikan perlambangan di dalam sosiobudaya Melayu. Telepok atau telipok (kerana ejaan asalnya dalam ejaan Jawi lama ‘تليڤوك’) adalah bunga yang tumbuh dengan sulur di dalam air. Apabila layu, ia akan menguncup tunduk cantik dari tangkai menggambarkan telinga wanita yang tirus berjurai menambahkan seri muka.

6. “Dagu lebah bergantung”
Mengapa lebah bergantung? Lebah yang bergantung dari sarangnya akan memperlihatkan punggungnya yang tajam terbentuk. Ia juga sama dengan salah satu ciri kejuruteraan rumah Melayu yang dilengkapi dengan ‘lebah bergantung’ bertujuan untuk mencucuri air agar lebih tetap pada satu tempat sahaja. Ia melambangkan dagu yang tirus, sekaligus membentuk muka yang bujur sirih.

7. “Jari tombak serai”
Serai jika dikupas dari rumpun dan dijadikan setangkai-setangkai menyerupai bentuk tombak. Ia menggambarkan jari yang halus, tirus dan mulus, sesuai dengan bentuk idaman jari para wanita.

8. “Lampai bagai pimping di lereng”
Ciri kelampaian wanita Melayu digambarkan pada sejenis (tinggi dan kecil) tumbuhan berbatang rongga bernama pimping, yang dilihat lebih gah pula tingginya apabila ia tumbuh di lereng (bukit, gunung, tanah tinggi, rabung).

9. “Lemah bagai lenggundi muda.”
Imej wanita Melayu diperindahkan dengan menggunakan rupa bentuk daun lenggundi, juga sejenis tumbuhan yang tumbuh panjang dan melebar di tengah. Lenggundi muda pula adalah sesuai pula dengan sifat dan sikap lemah (gemalai) juga keindahan bunganya, menggambarkan sifat feminin wanita Melayu.

‘Cik Siti Wan Kembang’ karya Emilia Yusoff dalam Legendary Princesses of Malaysia.

Ini hanya sebahagian kecil contoh perumpamaan Melayu. Jelas ianya begitu teliti dan berkias, menyamakan paras rupa wanita dengan ciri-ciri alami dan semulajadi.

Sememangnya, simbiosis antara Melayu dengan alam sekitar ini mengilhamkan perkaitan sifat kewanitaan perempuan Melayu yang telah lama wujud, bukan sahaja di dalam pekerjaan atau aktiviti fizikal harian Melayu, malah dalam pertuturan, wujud sebati di dalam bunga-bunga pertuturan harian Bahasa Melayu.

Selamat Hari Wanita Sedunia!

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Hari Wanita Sedunia

Read Next

Seluruh Itali kuatkuasa sekatan perjalanan dan perintah berkurung

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.