Sebanyak 45 majikan di negeri ini dikenakan kompaun berjumlah RM24,500 kerana gagal mendaftarkan pekerja dan syarikat mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dalam operasi yang diadakan semalam.
Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar berkata, ada antara mereka yang memberi alasan hanya menggaji pekerja sambilan malah ada yang menyuruh pekerja mereka pulang segera semasa serbuan.
Alasan itu tidak boleh diterima kerana peraturan sedia ada jelas menyatakan majikan wajib mencarum kepada Perkeso walaupun pekerja itu hanya bekerja sehari di premis perniagaan mereka, katanya pada sidang media selepas operasi yang diberi nama kod Op Gegar Malam itu berakhir lewat malam tadi.
Abd Razak berkata, operasi bermula jam 3 petang itu melibatkan 168 premis di sekitar kawasan Serkam, Umbai dan Klebang.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 iaitu kegagalan majikan mendaftar, sebanyak 34 kompaun bernilai RM18,500 dikeluarkan manakala di bawah Seksyen 5 akta sama, 11 kompaun bernilai RM6,000 dikeluarkan. kerana gagal mendaftarkan pekerja.
“Jika didakwa, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun,” katanya.
Tambah Abd Razak, operasi itu tertumpu kepada perniagaan yang dijalankan pada waktu malam terutama kedai makan dan kedai serbaneka.
Sementara itu, beliau berkata sejak Januari hingga Mei tahun ini
sebanyak 25 majikan didakwa di mahkamah, manakala pada 2021, sebanyak 99 majikan di negeri ini telah didakwa atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata Perkeso Melaka juga telah mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh yang ditetapkan kepada pertubuhan itu. — Bernama