Polis telah mengambil keterangan daripada 19 aktivis yang menghadiri perhimpunan di sebuah restoran dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, setakat 8 malam hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata daripada jumlah itu, sembilan aktivis dikenal pasti menyertai perhimpunan di LRT Bangsar pada Sabtu manakala selebihnya menghadiri perhimpunan di sebuah restoran pada Jumaat.
Beliau berkata, seramai 94 peserta dan aktivis serta 12 pengunjung awam dikenal pasti menghadiri perhimpunan di dua lokasi berkenaan, namun tiada tangkapan dibuat.
“Kesaksian saksi dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah selepas arahan diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur.
“Gambar tempat kejadian, gambar aktivis berucap dan video semasa perhimpunan turut dirakamkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amihizam berkata dua kertas siasatan dibuka di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 berhubung perhimpunan itu.
Beliau berkata siasatan mendapati perhimpunan itu diadakan sebagai tanda protes terhadap ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Terdahulu, beberapa aktivis dan pemimpin parti politik hadir pada jam 2.10 petang yang diwakili peguam mereka untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berikutan penyertaan mereka dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki.
Baca Lagi | Perhimpunan #TangkapAzamBaki: Polis ambil kenyataan 19 aktivis
Antara yang hadir ialah aktivis Adam Adli Abdul Halim, Ketua Pemuda DAP Howard Lee, Naib Presiden Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) Dr Thanussha Francis Xavier, Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Huddin; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Zubair Rahim dan pengarah strategik Pemuda Amanah Asmaalif Abdul Adam.
“Polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.