The Malaysia Post

Peperiksaan UPSR, PT3 2020 dibatalkan, SPM dan STPM ditunda ke tarikh baru

Pandemik COVID-19 memberi kesan besar terhadap kehidupan seharian masyarakat. Dari segi perkhidmatan pendidikan, taska, sekolah rendah dan menengah, matrikulasi, serta institusi pengajian tinggi terpaksa ditutup mengikut arahan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Semalam, satu sidang media Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan. Ini susulan tindakan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memutuskan pembatalan dua peperiksaan besar itu susulan pandemik COVID-19.

jer19b.transformed

Dr Mohd Radzi memaklumkan bahawa keputusan tersebut terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Katanya lagi, pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

“Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pelajar memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), maka KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata,” katanya dalam sidang media itu.

Di samping itu, dalam teks ucapan beliau turut menjelaskan bahawa pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah.Keputusan boleh diperoleh melalui satu kaedah baharu yang akan diperkenalkan, dan ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti SBP dan sekolah teknik.

file6n5qg193zad4sm2e2kl 1

Dalam perkembangan sama, peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk tahun 2020 akan ditunda ke tarikh baharu.

Baca Juga:  Vaksin CoronaVac China selamat, berkesan, halal, kata Pharmaniaga

Untuk peperiksaan SPM, SVM dan STAM, tarikh peperiksaan akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.  Bagi STPM pula, peperiksaan semester kedua akan akan ditunda pada Ogos 2020 manakala semester tiga akan dilakukan pada suku pertama tahun 2021.

Mohd Radzi turut memberitahu pembatalan dan penangguhan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Mengambil kira penangguhan peperiksaan ini yang akan menjejaskan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi, Mohd Radzi berkata KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) telah bersetuju menangguhkan kemasukan pelajar ke peringkat pengajian tinggi, matrikulasi dan diploma antara bulan Julai dan Ogos 2021. Kemasukan ke pengajian ijazah juga ditunda ke bulan September atau Oktober 2021.

Pastinya pembatalan dan penangguhan peperiksaan ini memberikan reaksi yang bercampur-baur kepada para pelajar dan ibu bapa. Namun, keputusan yang dibuat ini wajar dilaksanakan ekoran wabak COVID-19 yang masih belum surut. Terima sahajalah dengan hati yang terbuka.

About Aiman Hakim

cf101fe1d9938c321c3d7c1a070bbab3bb0a4096186500eca99cae258b0c050d?s=90&d=mm&r=gAiman Hakim ialah seorang penganalisis politik dan wartawan yang meliputi politik Malaysia serta hubungan serantau ASEAN. Beliau memberikan laporan yang jelas mengenai dasar kerajaan, kerjasama serantau, dan bagaimana perkembangan antarabangsa mempengaruhi kedudukan Malaysia di Asia Tenggara.

Read Previous

Mac 2020, bulan Mac kedua yang paling panas di Bumi mengikut rekod data

Read Next

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham dijolok antara 3 doktor terbaik dunia dalam usaha perangi COVID-19

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *