Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejumlah besar rakyat Malaysia menghabiskan masa mereka berada di rumah bagi mematuhi arahan oleh kerajaan. Penggunaan teknologi siber juga sesak dengan peningkatan jumlah pengguna yang menyebabkan kadar kelajuan internet menjadi semakin perlahan berbanding sebelum pelaksanaan PKP.
Namun begitu, bukan semua penggunaan siber digunakan secara berhemah. Ada dalam kalangan individu yang cuba mengambil kesempatan dalam kesukaran krisis COVID-19 ini untuk mengaut keuntungan.
Bercakap kepada perkara itu, insiden keselamatan siber telah melonjak sepanjang tempoh fasa pertama PKP dijalankan berikutan penjenayah siber menjadi lebih agresif dalam mencuba menggaut sejumlah besar keuntungan dengan mengeksploitasi mereka yang “terkurung” di rumah.
Menurut CyberSecurity Malaysia, jumlah keseluruhan insiden keselamatan siber yang berlaku sepanjang fasa pertama PKP sahaja lebih tinggi berbanding jumlah penipuan yang sama dilaporkan pada bulan Januari dan Februari. Agensi pakar keselamatan siber negara memaklumkan kebanyakan kes melibatkan penipuan dan gangguan siber.
“Terdapat sejumlah 10 insiden yang berkaitan dengan gangguan siber yang dilaporkan kepada agensi pada bulan Januari dan Februari sahaja. Bagaimanapun, semasa fasa pertama PKP, sudah ada tujuh kejadian berkaitan seksual dan ‘sextortion’ yang dilaporkan,” kata Ketua Pegawai CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.
Selain itu, bagi kes penipuan siber pula, agnesi menerima sebanyak empat laporan pada Januari dan 12 lagi pada Februari. Jumlah kes penipuan siber meningkat kepada 14 laporan antara 18 hingga 30 Mac, yang sejumlah besar membabitkan isu-isu berkaitan topeng muka, Dettol, hand-sanitizers dan Internet percuma.
CyberSecurity Malaysia melalui Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) juga telah mengesan beberapa kempen yang berniat jahat yang menyebarkan ‘malware’ melalui e-mel dengan lampiran rosak (malicious) dan pautan ke laman web ‘phishing’ yang berkaitan dengan topik COVID-19. Impaknya, adalah akses ancaman untuk kecurian credential, pencurian maklumat dan pengedaran malware dan jangkitan.
Sepanjang tempoh PKP ini memaksa mereka yang bekerja, menjalankan kerja dari rumah dan menggunakan tele-konferensi. Ini membuka risiko pihak luar untuk ‘mencuri dengar’ pada mesyuarat dan perbualan peribadi yang boleh membawa kepada kebocoran data peribadi. Oleh itu, organisasi perlu sentiasa mengemaskini platform yang ditawarkan oleh pembekal produk bagi menangani ‘bug’ dan kebocoran keselamatan.
Di samping itu, penggunaan kata laluan yang lebih kompleks juga dapat membantu daripada digodam oleh pihak luar. Pengguna individu perlu mengelakkan agar tidak log masuk ke sebarang laman web menggunakan WiFi awam, tetapi sebaliknya menggunakan sambungan melalui rangkaian dari rumah atau telefon mudah alih.
Individu juga disarankan agar tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi atau kewangan melalui e-mel, membalas berkaitan maklumat sulit di e-mel, serta tidak menekan klik pada pautan berkaitan COVID-19 sebelum mengesahkannya.
Orang awam perlu lebih peka dan berhati-hati kepada jenayah siber yang cuba mengambil kesempatan di saat negara mengalami krisis. Jadilah pengguna yang bijak dan tidak mudah tertipu supaya anda tidak menjadi mangsa kerugian kepada jenayah berkaitan penipuan siber.