The Malaysia Post

Pembatalan bazar Ramadan tahun ini, isu pembaziran makanan berkurangan

Seperti diketahui, bazar Ramadan tahun ini terpaksa dibatalkan kerana kebimbangan terhadap kemungkinan penularan wabak COVID-19 yang lebih parah. Ramai yang kecewa tetapi terpaksa akur dengan keputusan dibuat kerajaan ini.

Namun dalam perkembangan yang sama, pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini juga dilihat mampu mengawal isu pembaziran makanan yang berlaku setiap kali bulan Ramadan.

Ini disampaikan sendiri oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Malah, beliau turut menggalakkan saranan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar umat Islam memasak sendiri juadah berbuka puasa di rumah.

“Tiada bazar Ramadan, jadi apa yang dibeli dan dimasak nampak terkawal. Justeru, pembaziran boleh diminimumkan.

“Kalau boleh kita hendak sifar pembaziran tetapi sekurang-kurangnya usaha ke arah itu cukup menarik dan nampak berhasil,” katanya.

Sementara itu juga, beliau turut memaklumkan agar masyarakat mengambil iktibar situasi yang berlaku di sesetengah negara yang menyaksikan sikap tidak ambil peduli mereka, menyebabkan berlakunya gelombang kedua atau ketiga COVID-19.

Penduduk yang berada di zon hijau jangan mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk keluar membeli juadah semasa berbuka puasa. Walaupun zon hijau menyaksi kes aktif COVID-19 yang agak rendah atau dengan kes sifar, itu tidak menjadi alasan untuk masyarakat tidak patuh arahan PKP.

Masih terdapat banyak cara untuk membeli juadah berbuka puasa, contohnya menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah. Dengan cara ini ianya jauh lebih baik dan hanya memerlukan kita duduk sahaja di rumah.

Di samping itu, Zulkifli berkata sebanyak RM1.6 juta daripada keseluruhan RM3.7 juta kutipan untuk Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM telah digunakan bagi membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan ini.

JAKIM turut menerima sumbangan 3,000 keping penutup hidung dan mulut, 400 botol cecair pembasmi kuman dan 500 kotak Susu Kolostrum IgCo bernilai RM111,000 daripada syarikat Success Network International (SNI) Sdn Bhd.

JAKIM turut menyerahkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Putrajaya yang merupakan sumbangan seorang usahawan Palestin di Malaysia, Abdul Faragh Abdul Shahfi.

Alangkah baiknya sekiranya kita terus berjuang untuk memutuskan rantaian COVID-19, supaya keadaan negara akan pulih lebih cepat dan masyarakat dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Setakat hari ini, Malaysia mencatatkan sebanyak 40 kes baru dan satu kematian hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 adalah 5,820 orang.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

407 kes malaria zoonotik dilapor di Sabah, kes berkurang sepanjang tempoh PKP

Read Next

Kaum wanita antara teruk terkesan sepanjang PKP, berisiko alami kemiskinan di Selangor

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.