ALOR SETAR, 30 April 2025 – Krisis yang melanda pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sejak beberapa bulan lalu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong setia Hijau Kuning. Situasi itu turut menarik perhatian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang kini tampil menggembleng tenaga demi memastikan pasukan kebanggaan negeri ini tidak terus lenyap daripada peta bola sepak tanah air.
Gabungan NGO, Bekas Pemain dan Penyokong Bersatu Selamatkan Pasukan Kedah
Inisiatif ini diterajui oleh Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), yang diketuai oleh Datuk Romli Ishak, serta disertai lebih 10 NGO lain, bekas pemain, jurulatih dan kelab penyokong. Gabungan ini menyuarakan komitmen mereka untuk memperjuangkan nasib pasukan Kedah, yang kini berdepan krisis kewangan serius dan ancaman pembubaran.
Dalam satu majlis Aidilfitri bersama penyokong Hijau Kuning dan bekas pemain Kedah, Datuk Romli menjelaskan bahawa inisiatif itu lahir atas keprihatinan dan kecintaan terhadap pasukan negeri. Mereka menolak untuk berdiam diri dan melihat pasukan ini terus ditimpa kehancuran akibat pengurusan yang tidak stabil serta kegagalan membayar gaji pemain sejak hampir setahun.
Nasib Pemain Pasukan Kedah Diperjuangkan
Menurut Datuk Romli, keadaan yang menimpa para pemain sangat menyedihkan, malah memalukan maruah negeri Kedah. dan turut berkongsi kisah seorang pemain import yang mana beliau terpaksa mengambil keputusan kembali pulang ke negara asal tanpa wang selepas tamat liga, kerana tidak menerima gaji.
“Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku berulang. Ia bukan sahaja menjatuhkan imej kelab, tetapi juga mencalar reputasi negeri dan rakyat Kedah. Sebab itulah kami hadir hari ini untuk menunjukkan bahawa rakyat Kedah prihatin dan sanggup bangkit mempertahankan pasukan ini,” katanya.
Sinar Harapan Pasukan Kedah Mula Kelihatan
Walaupun belum bersedia untuk mendedahkan secara terperinci pelan penyelamatan pasukan, Datuk Romli memberi bayangan bahawa satu “kejutan” sedang diusahakan dan akan diumumkan dalam masa terdekat serta memaklumkan telah menerima berita positif daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, bagi membantu mencari jalan menyelamatkan pasukan.
“Untuk selamatkan Kedah, ia tak semestinya bergantung kepada satu entiti sahaja. Memandangkan KDA FC kini dimiliki secara swasta, pelbagai pendekatan boleh diambil, termasuk rundingan dengan pemilik atau mencari alternatif baharu untuk memulihkan semula maruah bola sepak Kedah,” katanya lagi.
Perbincangan dengan Pemilik KDA FC Sedang Berjalan
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Romli turut mendedahkan bahawa beliau dan pasukannya telah mengadakan perbincangan dengan pemilik semasa KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar, yang kini sedang menghadapi kesulitan kewangan dalam menguruskan kelab. Walaupun belum ada keputusan muktamad, perbincangan itu menunjukkan kesungguhan semua pihak mencari penyelesaian.
Baca lagi:
- Video TikTok Kedah FC Bikin Sebak, Minta Sokongan Penyokong
- Victor Andrag Akui Prestasi Kedah Terjejas Teruk, Isu Kewangan Jadi Punca
Tabung Aidilfitri Pemain Kedah dan Sokongan Rakyat
Antara langkah awal yang telah diambil oleh RADA bersama Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA) dan Persatuan Anak Darulaman Malaysia (ADAM) termasuklah melancarkan Tabung Aidilfitri pada 25 Mac lalu, yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan pemain Kedah.
Langkah ini membuktikan bahawa masih ada sokongan akar umbi daripada rakyat Kedah yang prihatin dan tidak mahu melihat pasukan bola sepak negeri terus terkubur akibat kelemahan pentadbiran dan pengurusan kewangan.