Melihat kepada keadaan pandemik COVID-19 yang seakan tiada penghujung, merisaukan pelbagai pihak sehingga ke peringkat tertinggi negara. Negara-negara dalam kalangan ASEAN turut merasakan impak yang teruk, dengan peningkatan ketara kes jangkitan wabak. Setiap negara ASEAN turut mengambil tindak balas yang berbeza terhadap pandemik ini.
Terbaharu, Malaysia mencadangan agar ASEAN merangka Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19. Ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kewangan, bahkan jaringan keselamatan sosial dan jaminan makanan serta pendidikan kepada penduduk negara serantau.
Cadangan itu telah diusulkan Malaysia oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sidang Kemuncak ASEAN Mengenai COVID-19 yang diadakan menerusi persidangan video. Sidang ini adalah yang julung kali diadakan secara dalam talian. Ia turut dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc serta disertai ketua kerajaan 10 anggota pertubuhan serantau.
Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN perlu mengandungi langkah-langkah untuk menjamin rangkaian bekalan kepada 600 juta penduduk rantau ini. Ini termasuklah memastikan kelancaran aliran bekalan untuk perubatan, makanan dan barang keperluan di samping prasarana kritikal untuk laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut.
Malaysia menekankan bahawa terdapat hikmah di sebalik setiap krisis kerana semua negara menghadapi masalah yang sama. Justeru itu, semua negara ASEAN perlu saling bekerjasama bagi memastikan tidak ada yang akan tercicir.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, ASEAN juga perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan tidak perlu yang boleh menghalang kelancaran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan.
Malaysia menyeru ASEAN meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi landskap baharu di rantau ini yang mana ASEAN tidak boleh dibiarkan kembali ke zon selesa, sebaliknya membangunkan rantau Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan dan kuasa baharu, bukan hanya untuk 600 juta penduduknya bahkan untuk seluruh dunia.
Kenyataan itu turut memaklumkan Malaysia menyokong pengwujudan Dana Khas COVID-19 ASEAN (COVID-19 ASEAN Response Fund) untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan.
“ASEAN perlu terus membangunkan rizab bekalan perubatan serantau, selain menggunakan rizab gudang simpanan sedia ada yang relevan bagi membantu keperluan negara anggota ketika kecemasan kesihatan.
“Pelbagai mekanisme dan struktur ASEAN yang diterajui Malaysia seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam (ASEAN EOC Network) dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi ASEAN (ARARC) telah terbukti dapat berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis.
“Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik ini bersama-sama anggota ASEAN yang lain,” kata kenyataan itu lagi.