The Malaysia Post

Latheefa Koya sah letak jawatan KP SPRM

Latheefa Koya meletak jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pegawai kanan kedua yang dilantik di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Keputusan itu disampaikan dalam surat kepada Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu, 2 Mac – hanya sehari selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8 diikuti dengan pertemuannya dengan Muhyiddin semalam.

Latheefa bagaimanapun berkata, perkara itu tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ia adalah keputusan saya sendiri. Spekulasi yang mengatakan saya ditekan untuk berbuat demikian adalah tidak berasas. Niat saya adalah untuk kembali praktis sebagai peguam hak asasi, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Latheefa berkata, beliau berjumpa dengan Perdana Menteri semalam bagi memberi penjelasan berhubung keputusannya untuk meletakkan jawatan.

Latheefa Koya temui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

“Kami mengadakan perbincangan yang sangat mesra dan beliau faham berhubung kedudukan saya. Saya juga menjelaskan kepada Perdana Menteri berhubung usaha dan tindakan yang sedang dilaksanakan untuk memulangkan semula wang 1MDB di luar negara. Beliau sangat menyokong penuh tindakan ini, ” katanya.

“Saya juga mengambil peluang memberi ucapan kepada beliau dan kerajaan baru agar berjaya dalam memajukan kebajikan dan kepentingan buat rakyat.” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menemui dan memberi taklimat kepada timbalannya, Datuk Seri Azam Baki serta ketua jabatan SPRM untuk memastikan penyerahan tugas dapat dilaksanakan secara teratur.

“SPRM akan melaksanakan tugas seperti biasa di bawah barisan pegawai saya yang berkebolehan. Saya melepaskan jawatan saya dengan penuh keyakinan bahawa SPRM akan terus berusaha tanpa lemah dan tanpa kompromi dalam perjuangan menentang rasuah, tanpa mengira kedudukan atau pesalah politik.

“Saya juga berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, rakan di SPRM dan rakyat untuk sokongan yang saya terima sepanjang berkhidmat, ” katanya.

Peletakan jawatannya hampir seminggu selepas Tommy Thomas meletak jawatan sebagai peguam negara. Thomas kemudian memberitahu bahawa beliau melepaskan jawatan itu kerana beliau dilantik oleh Mahathir.

“Ia juga penting bagi saya untuk mengetepikan dan membenarkan perdana menteri baru melantik peguam negaranya sendiri,” katanya.

Latheefa, yang aktif dengan PKR sebelum pilihan raya umum 2018, dinama-kan untuk mengetuai SPRM pada 4 Jun, tahun lalu bagi menggantikan Mohd Shukri Abdull, menjadi orang pertama di luar perkhidmatan awam untuk mengetuai agensi anti-rasuah itu.

Pelantikan Latheefa bagaimanapun mengundang kritikan, antara lain dikatakan bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai lantikan politik dan menjejaskan fungsi SPRM sebagai badan bebas.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Ketua Menteri Sabah: Sabah kekal kerajaan negeri pembangkang

Read Next

Olimpik Tokyo 2020: Azizulhasni Awang layak acara pecut

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.