Hari ini, Konvensyen Kerajaan Perpaduan diadakan di Kuala Lumpur, namun ia dianggap tidak menjejaskan kekuatan gelombang hijau yang dicetuskan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum (PRU) lepas.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa masih banyak isu-isu yang belum diselesaikan dalam kalangan parti-parti kerajaan campuran, termasuk pembahagian kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Agenda PN Akan Diperkukuh
Menurut Tuan Ibrahim semalam ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kubang Kerian di perkarangan Masjid at-Taqwa Bandar Satelit Pasir Tumboh, agenda Perikatan Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ini akan diperkukuhkan lagi untuk menguatkan jentera parti dan beroleh kemenangan besar di semua negeri PRN.
Beberapa individu penting juga hadir dalam majlis tersebut, termasuk Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Pengerusi Bersatu negeri, Dato’ Kamaruddin Mohd Noor, dan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Abdul Rahman Yunus.
Baca lagi | Suara Mahasiswa Mencorak Masa Depan Parti Politik
Majlis tersebut diraikan oleh lebih daripada 6,000 pengunjung, dan disediakan pelbagai hidangan termasuk gulai kawah, laksa kuah lemak, kambing bakar, dan sate bersama nasi himpit.
PH-BN yang membentuk kerajaan telah pun mengadakan kovensyen di bangunan Umno dan menciptakan sejarah baharu Malaysia.
PH dan BN Ada Masalah Dalaman
Tuan Ibrahim, yang juga merupakan ahli parlimen Kubang Kerian, menyatakan bahawa masalah dalaman dalam PH dan BN memberikan gambaran yang jelas kepada rakyat mengenai kedudukan sebenar Pakatan Harapan (PH) dan Umno pada masa kini.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa PN sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi, dengan tujuan mempertahankan kemenangan dan mengambil alih pemerintahan kerajaan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Baca lagi | Gabungan 4 Parti Politik Sukarkan Gerakan Jatuhkan Kerajaan – Anwar
Beliau juga amat berharap semua jentera-jentera parti dapat terus bertugas dengan baik untuk memastikan kemenangan PN untuk buktikan kepada semua bahawa Perikatan Nasional
merupakan pilihan rakyat seperti yang telah dibuktikan dalam PRU yang lalu.
Enam negeri akan mengadakan pilihan raya, iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang diperintah oleh PN, manakala Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan diterajui oleh kerajaan perpaduan.