The Malaysia Post

Kerajaan Perpaduan atasi politik kepentingan diri

Malaysia sekarang ini berada dalam suasana perubahan yang sangat radikal, pantas dan kompleks. Dalam masa lebih kurang 10 hari perubahan luar biasa telah dan akan berlaku. Baru-baru ini, Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan perpaduan nasional melalui satu perutusan khas yang beliau sampaikan.

Konsep kerajaan perpaduan yang Dr Mahathir cadangkan mungkin berbeza daripada kerajaan perpaduan yang dikenali umum.
Seperti yang beliau terangkan secara ringkas di sidang media ketika melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 semalam (Khamis, 27 Februari) iaitu; pemilihan anggota Kabinet tidak diasaskan daripada parti politik. Selain itu, calon terdiri daripada orang perseorangan yang menyertai Kabinet sebagai individu;

Calon akan dipilih sebagai individu berasaskan budi pekerti dan kepakaran. (Ertinya penyangak, penyamun, pencabul kehormatan, perasuah dan orang kena tuduh (OKT) tidak termasuk dalam senarai); dan
calon boleh datang daripada parti politik tetapi mereka duduk di dalam Kabinet sebagai orang perseorangan.

Mengapakah Dr Mahathir memilih kaedah ini yang sekaligus mungkin mengurangkan harapan beliau mendapat sokongan daripada wakil parti-parti politik di dalam Dewan Rakyat?

Jawapannya adalah beliau tidak lagi mahu atau berasa mampu menjadi Perdana Menteri yang bergantung kepada parti-parti politik. Bukan tujuan beliau hendak menjadi diktator atau autokrat, tetapi untuk mentadbir dengan lebih tenang dan berkesan tanpa gangguan politik kepartian.
Malah kaedah ini boleh menjadikan Malaysia lebih demokratik kerana kerajaan terdedah kepada pemantauan oleh parti-parti politik di dalam dan luar dewan.

Dalam bahasa yang mudah, cadangan Dr Mahathir ini boleh juga dilihat sebagai percubaan terakhir beliau memenuhi aspirasi dan matlamat menyelamatkan Malaysia yang beliau asaskan pada tahun 2016.

Kempen Selamatkan Malaysia yang memungut lebih 1.4 juta tandatangan rakyat jelata adalah jalan pulang beliau ke arena politik selepas bersara pada tahun 2003. Melalui Pakatan Harapan (PH) yang beliau pimpin, negara berjaya dibebaskan daripada cengkaman kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN). Jadi dari sini pun kita boleh lihat mengapa beliau tidak boleh menerima Umno seperti yang cuba dipaksakan ke atas beliau oleh Bersatu.

Pada malam  21 Februari, sesuatu yang luar biasa berlaku. Majlis Presiden PH telah memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga selesai sidang kemuncak APEC November ini. Bukan itu saja malah ia juga tidak meletakkan sebarang tarikh selepas itu bagi Dr Mahathir memindahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas mesyuarat itu, Dr Mahathir memberitahu sidang media: “Saya kata peralihan lepas APEC (Asia-Pacific Economic Cooperation). Tidak ada masa (ditetapkan)…tidak ada tarikh… tiada apa-apa. Terpulang kepada saya tentukan masa. Keputusan kepada saya, bila akan letak jawatan.”

Jadi pada pendapat beliau dan daripada sudut pandangan umum, beliau telah diberikan mandat baru oleh PH untuk terus mentadbir. Cerita kononnya beliau akan dipaksa undur diri Mei ini tidak benar dan tidak terjadi.

Matlamat Dr Mahathir tidak lain kecuali membersihkan negara daripada najis kerajaan BN dan akibat wabak Covid-19 yang sedang berlaku sekarang. Tetapi kegembiraan beliau singkat. Pada pagi hari Ahad, 23 Februari parti beliau, Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di mana Dr Mahathir dikejutkan oleh tekanan bertubi-tubi daripada majoriti ahli supaya menarik Bersatu keluar daripada PH dan bergabung dengan UMNO dan PAS.

Dr Mahathir menerangkan dengan panjang lebar apa yang berlaku dalam mesyuarat 21 Februari dan berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan  kepercayaan yang diberikan oleh Majlis Presiden PH itu. Malah beliau merayu berulang kali kepada ahli agar memberikan beliau peluang dan tidak mamaksa beliau melanggar prinsip beliau dan mungkir janji kepada Anwar.

Pokok pangkalnya, Dr Mahathir hanya merayu diberi peluang untuk berpegang kepada prinsip beliau dan menunaikan janji beliau. Dan dengan jelas mengulangi pendirian beliau, iaitu beliau boleh terima pemimpin Umno sebagai individu tetapi beliau tidak akan terima Umno.

Akhirnya keputusan diambil untuk keluar PH dan dengan itu runtuhlah Kerajaan PH. Pada hari Isnin, Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu. Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah wajib kerana beliau bukan lagi ahli PH dan PH hilang majoriti dalam Dewan Rakyat.

Beliau tidak perlu letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu tetapi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana tidak mendapat sokongan MPT. Pada 27 Februari beliau terima semula jawatan Pengerusi Bersatu atas rayuan melutut MPT. Bagi saya, itulah latar belakang politik yang menyebabkan Dr Mahathir tidak mahu lagi memimpin berasaskan parti. Kalau masih diperlukan, beliau akan memimpin kerajaan tanpa parti.

Praktikal atau tidak, itulah pilihan beliau buat masa ini dan terpulanglah kepada ahli Dewan Rakyat memutuskannya Isnin ini. Malah secara terbuka beliau memberitahu sidang media semalam bahawa beliau bersedia kalah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menerima Presiden Bersatu itu sebagai calon Perdana Menteri jika itulah keputusan Dewan Rakyat. Perlu disebutkan bahawa Muhyiddin adalah pemimpin Bersatu yang bercakap bagi pihak ahli MPT yang mahu Bersatu keluar PH dan menyertai Umno dan Pas.


About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat 2 Mac ini

Read Next

Proses pemilihan Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong menurut Perlembagaan Persekutuan

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.