The Malaysia Post

Kenyataan akhbar UK terhadap “royal coup” hina institusi diraja

Semalam, sebuah akhbar dari United Kingdom “The Guardian” seolah-olah menggambarkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan sebagai ‘royal coup’ (rampasan diraja).

Dakwaan mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan secara ‘royal coup’ disifatkan melampau dan menghina institusi diraja di negara ini.

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata segala tindakan diambil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam menyelesaikan krisis politik negara baru-baru ini, adalah berpandukan kuasa diperuntukkan kepada Seri Paduka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkara dakwaan itu menghina institusi diraja Malaysia

Beliau menjelaskan, Perkara 43 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan, secara jelas menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik seorang Perdana Menteri, yang pada hemat Seri Paduka mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, yang tidak sama dengan sistem di negara-negara lain.

“Kenyataan ‘royal coup’ telah menghina institusi diraja di Malaysia dan mencabar kedaulatan negara,” katanya kepada media, hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman menegaskan, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri melambangkan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam menyelesaikan kemelut politik negara. 

“Ahli mubarak memberi sokongan penuh kepada Tuanku (atas pelantikan Muhyiddin) kerana ia keputusan yang bijak, dibuat secara terbuka dan demokratik. Sebab itu kami tidak rasakan ia satu ‘royal coup’. Ini kebijaksaan Tuanku menyelesaikan masalah.

“Itu (keputusan Seri Paduka) termaktub dalam peruntukan perlembagaan dan bukannya di luar kerangka perlembagaan persekutuan. Cara Tuanku mengendalikan krisis ini adalah sangat hebat dan telus,” katanya.

Hishammuddin Hussein menemplak kenyataan yang tidak bertanggungjawab dari akhbar UK tersebut.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menempelak pihak luar yang yang menuduh pihak Istana merampas kuasa kerajaan (royal coup).

“Saya harap penulisan artikel ini tidak didalangi oleh orang kita sendiri.

“Kedaulatan, keadilan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat rakyat sanjung tinggi.

“Tiada pihak luar berhak campur tangan,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Golongan profesional dan teknorat harus diberi peluang dalam kabinet baharu

Read Next

Gerakan kerajaan pintu belakang 2008 Anwar Ibrahim

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.