The Malaysia Post

Intel Malaysia sumbang RM2 juta bantu professional penjagaan kesihatan perangi COVID-19

Intel Malaysia mempunyai tenaga kerja seramai 10,000 kakitangan termasuk pusat reka bentuk dan pembangunan terbesar di Malaysia. Ianya juga salah satu daripada hanya dua pusat perkhidmatan perkongsian Intel yang menyokong sumber manusia, teknologi maklumat perolehan kewangan dan operasi rantaian bekalan ke pusat Intel di seluruh dunia.

Intel Malaysia juga merupakan pusat pengeluaran dan ujian penghasilan terbesar Intel yang menghasilkan produk terbaru Intel menggunakan teknik pembuatan pintar.

Krisis pandemik COVID-19 yang dialami di Malaysia membuatkan ramai yang menghulurkan bantuan dari segala aspek bagi meringan beban dan menghargai para barisan hadapan negara ketika ini.

Tidak terkecuali, Intel Malaysia turut tampil untuk menyumbang lebih RM2 juta kepada professional penjagaan kesihatan untuk membantu mereka memerangi COVID-19 di dalam negara.

Naib Presiden Korporat dan Pengurus Besar Pembuatan Ujian Pemasangan di Intel Corporation, Robin Martin.

Perkara ini disampaikan sendiri oleh Naib Presiden Korporat dan Pengurus Besar Pembuatan Ujian Pemasangan di Intel Corporation, Robin Martin. Sumbangan sebanyak RM2 juta itu akan digunakan untuk membeli kit ujian, ventilator, monitor pesakit dan pembersih udara untuk hospital-hospital kerajaan khususnya di Pulau Pinang dan Kedah, selain memberi sokongan juga kepada agensi kerajaan lain di Malaysia.

Menurut Robin, teknologi Intel menyediakan kapasiti pengkomputeran teras untuk komputer dan pelayan yang digunakan untuk kebolehkendalian rangkaian dan penyimpanan data serta bertanggung jawab ke atas tenaga pengkomputeran untuk penyelidikan perubatan, robotik untuk penjagaan pesakit yang perlu bantuan, kecerdasan buatan dan analisis data untuk penjagaan kesihatan.

“Kerajaan dan Kementerian Kesihatan bekerja lebih masa untuk melindungi rakyat negara ini dan kami mengakui tugas lebih berat yang mereka hadapi dalam situasi ini, khususnya bagi barisan hadapan penjagaan kesihatan.

“Oleh itu, kami membuat keputusan untuk menyumbang sebahagian daripada sumber kami untuk meringankan beban yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya.

Intel Malaysia telah bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) menerusi satu program iaitu #AMCHAMCares. Program ini akan memastikan sumbangan itu sampai kepada institusi yang memerlukan tepat pada masanya.

Intel Malaysia adalah pusat ‘offshore’ pertama untuk Intel Corporation, dengan lebih daripada RM22 bilion dilaburkan sejak tahun 1972.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Ratusan juta bunga dimusnahkan, permintaan berkurangan diganggu penularan wabak

Read Next

Pengeluar kondom utama dunia terpaksa hentikan pengeluaran, bekalan kondom dunia berkurangan

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.