PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty, sekali lagi menarik perhatian ramai apabila bertegas dengan permintaannya agar ibu bapa pempengaruh media sosial, Imran Bard, memohon maaf secara terbuka atas tindakan anak mereka yang didakwa telah memfitnahnya.
Malah, Ellie, atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 54, menyatakan kesediaannya untuk bertemu sendiri dengan ibu Imran di hospital bagi menyantuni wanita tersebut yang dikatakan masih menerima rawatan.
Ellie Suriaty Sedia Melawat Ibu Imran Bard di Hospital
Menurut Ellie, beliau tidak mempunyai masalah untuk berjumpa dengan ibu kepada pempengaruh media sosial itu di hospital, lebih-lebih lagi jika wanita tersebut sedang sakit.
Namun, beliau tetap tuntut ibu bapa Imran untuk mohon maaf atas sikap biadab anak mereka terhadapnya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ellie selepas Imran, atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin, 24, membuat permohonan maaf menerusi satu video di TikTok, namun ia tidak diterima baik oleh aktres tersebut.
Baca lagi | Normalisasi Budaya Songsang, Imran Bard Padam Video Selepas Teruk Dikecam
Tidak Terima Permohonan Maaf Imran Bard, Ellie Suriaty Mahu Ibu Bapa Bertanggungjawab
Ellie menegaskan bahawa permohonan maaf yang dilakukan oleh Imran kelihatan tidak ikhlas, sekali gus tidak cukup untuk menebus kerosakan yang telah dilakukan terhadap reputasinya.
Melalui video permohonan maaf yang dikeluarkan Imran, beliau dengan lantang mengatakan bukan Imran yang perlu minta maaf sekarang ini, tetapi ibu bapanya. Hal ini disebabkan sikap biadap anak mereka yang sesuka hati memperlekeh dan memfitnahnya hanya demi konten viral dan ibu bapanya perlu bertanggungjawab.
Sejak tercetusnya kontroversi ini, netizen berbelah bahagi dalam memberikan reaksi. Ada yang menyokong tindakan Ellie, manakala tidak kurang juga yang menganggap pelakon itu terlalu keras hanya kerana sebuah video parodi.
Baca lagi | Sebulan kemudian, ‘Mat Kilau’ memperoleh RM90 juta
Netizen Persoalkan Tindakan Ellie Suriaty, Ini Jawapan Beliau
Menyedari adanya segelintir pihak yang menganggap reaksinya keterlaluan, Ellie menjelaskan bahawa tindakan Imran bukan sekadar parodi biasa, tetapi telah membuka ruang untuk lebih banyak kecaman dan fitnah terhadap dirinya.
Menurut Ellie, apa yang lebih menyedihkan ialah hakikat bahawa reputasi yang dibinanya selama lebih tiga dekad dalam industri seni Malaysia telah diperkotak-katikkan dengan begitu sahaja melalui dua hantaran video TikTok yang dibuat oleh Imran.
Kontroversi Bermula dengan Video Imran Bard
Terdahulu, Imran memuat naik dua video di TikTok di mana dia berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian, lalu menyebut nama Ellie dengan konotasi negatif. Malah, dalam video itu juga, terdapat sindiran yang mengaitkan Ellie dengan bahan terlarang, sesuatu yang disifatkan oleh pelakon filem Penanggal itu sebagai melampaui batas.
Berikutan itu, Ellie mengadakan sidang media bagi menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada ibu bapa Imran atas tindakan anak mereka. Namun, Imran tampil dengan kenyataan bahawa ibunya sedang menerima rawatan di hospital dan tidak dapat bertemu Ellie buat masa ini.
Dengan perkembangan terbaru ini, ramai yang tertanya-tanya apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh Ellie. Adakah ibu bapa Imran akan tampil memohon maaf seperti yang diminta, atau adakah pertikaian ini akan berlarutan lebih lama? Sama-sama kita nantikan.