The Malaysia Post

Cukai HVGT Disifatkan Songsang, Bebankan Orang Miskin – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2024 – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membidas dasar kerajaan yang dianggap tidak adil dalam pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT). Dalam perbahasan di Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15, beliau menyatakan kebimbangan tentang pelaksanaan cukai tersebut yang seolah-olah mendiskriminasikan golongan berpendapatan rendah.

Pelaksanaan HVGT yang Tertangguh

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, Muhyiddin mempertikaikan status pelaksanaan HVGT yang diumumkan dalam Belanjawan 2024. Cukai ini dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun ini tetapi dilaporkan ditangguhkan tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Muhyiddin mempersoalkan mengapa sehingga kini masih tiada berita mengenai HVGT dan adakah ia ditangguh atau telah dibatalkan walaupun cukai jualan 10 peratus ke atas barangan bernilai rendah telah pun dilaksanakan kerajaan sejak Januari yang lalu.

Beliau menyifatkan pelaksanaan cukai ini sebagai dasar yang tidak adil, di mana golongan miskin yang membeli barang murah dikenakan cukai, manakala golongan kaya yang membeli barangan mahal terlepas dari cukai.

Dasar yang Menghimpit Golongan Berpendapatan Rendah

Muhyiddin menekankan bahawa pelaksanaan HVGT ini sepatutnya memberi kesan yang lebih seimbang dan tidak wajar apabila hanya orang miskin yang membeli barangan murah dikenakan cukai, tetapi golongan kaya yang membeli barangan mahal tak dikenakan cukai

Pelaksanaan HVGT yang sepatutnya dikuatkuasakan tahun ini telah ditangguhkan dengan alasan untuk memperkemas dasar dan perundangan berkaitan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Julai lalu menjelaskan bahawa penangguhan tersebut bertujuan untuk memastikan pelaksanaannya kelak lebih teratur dan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Baca lagi | Muhyiddin, Hamzah Menang Tanpa Bertanding dalam Pemilihan Bersatu 2024

Kesan Penarikan Subsidi Petrol RON95

Selain membangkitkan isu HVGT, Muhyiddin turut menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan penyasaran subsidi petrol RON95. Beliau menyatakan kebimbangan bahawa keputusan tersebut akan menyebabkan kenaikan harga barangan asas.

Ujar beliau lagi, rakyat sedang menanggung beban kos sara hidup yang tinggi dan harga barang melambung, tambahan pula sekarang kerajaan telah menarik subsidi serta menaikkan cukai. 

Beliau juga meramalkan bahawa kadar inflasi akan meningkat antara dua hingga 3.5 peratus pada tahun hadapan jika subsidi ini ditarik balik. Walaupun kerajaan telah memberi jaminan bahawa hanya golongan T15 yang akan membayar lebih, Muhyiddin tegas mempersoalkan siapakah golongan T15 dan adakah mereka benar-benar merupakan golongan maha kaya.

Subsidi Pendidikan Golongan T15

Muhyiddin juga membangkitkan isu penarikan subsidi pendidikan bagi keluarga golongan T15 di sekolah berasrama penuh. Beliau bimbang sekiranya kerajaan meneruskan rancangan penghapusan subsidi ini, ia akan menambahkan lagi beban kewangan kepada keluarga berpendapatan tinggi sederhana ini.

Ujar beliau lagi, selain terpaksa membayar harga petrol yang lebih mahal,golongan T15 juga terpaksa membayar lebih untuk pendidikan anak-anak mereka di sekolah asrama penuh. Beliau turut menegaskan bahawa bidang pendidikan anak-anak tidak seharusnya diganggu kerana ia adalah aspek penting untuk masa depan negara.

Muhyiddin Tegas Pertahankan Kepentingan Rakyat

Dalam ucapannya, Muhyiddin jelas menegaskan bahawa rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tidak seharusnya dipinggirkan dalam pelaksanaan dasar kerajaan. Beliau menyeru kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih adil dan seimbang dalam menguruskan subsidi dan cukai agar tidak membebankan golongan yang memerlukan.

Dasar rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan HVGT perlu dipertimbangkan semula dengan teliti supaya ia tidak hanya memberi manfaat kepada segelintir pihak, tetapi kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Read Previous

Syarikat Jepun Memperkenalkan Payung Kalis Tikaman untuk Keselamatan Penumpang Kereta Api di Kansai

Read Next

KPM Ambil Langkah Serius Trend ‘Barcode’ dalam Kalangan Pelajar – Fadhlina Sidek

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.