The Malaysia Post

Bagaimana Malaysia boleh tamatkan PKP? KKM gariskan 6 kriteria yang perlu dipatuhi sebelum tarik balik PKP

Malaysia sudah memasuki hari ke-36 dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijadualkan akan berakhir pada 28 April ini, kira-kira dalam masa seminggu sahaja lagi. Untuk beberapa hari lalu, jumlah kes baharu positif COVID-19 menurun di bawah angka 100 yang menjadi pendorong dan petanda jelas bahawa PKP berjaya mengurangkan penularan virus maut ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengariskan enam kriteria sebelum kerajaan boleh memutuskan sama ada PKP boleh ditamatkan atau sebaliknya. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah berkongsi enam kriteria itu yang merangkumi kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan norma baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti. 

1. Kawalan keselamatan

Menurut Dr Noor Hisham, kemampuan kawalan sempadan penting bagi mengurangkan kebarangkalian mereka yang datang ke Malaysia membawa jangkitan. Setakat ini, semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari luar negara sudah dikehendaki menjalani kuarantin mandatori di beberapa pusat termasuklah hotel. Sementara itu, sempadan negara juga ditutup untuk semua pelancong dan pelawat luar.

Kemaskini yang dikongsikan melaporkan 95 orang rakyat yang pulang ke tanah air dari negara lain telah dijangkiti COVID-19, di mana 68 orang adalah dari Indonesia, 12 dari United Kingsom, 5 dari Singapura, 4 dari Turki, 3 dari Belanda, 2 dari Amerika Syarikat dan seorang dari Perancis.

2. Kawalan pergerakan

Kriteria kedua pula ialah kawalan pergerakan, yang mana turut perlu diberi perhatian supaya dapat mengelakkan jangkitan COVID-19 melalui satu individu ke individu lain. Justeru itu, rakyat Malaysia diseru agar patuh arahan PKP dan terus duduk di rumah.

Menurut Dr Noor Hisham, kerajaan akan mempertimbangkan untuk menarik balik PKP sekiranya bilangan kes harian yang dilaporkan menunjukkan penurunan kepada satu digit.

3. Kemampuan sistem kesihatan

Kriteria ketiga ialah mempunyai sistem kesihatan yang baik dengan kebolehan ujian yang lebih baik. Beliau berkata ini termasuklah keupayaan makmal untuk mengesan kes COVID-19, kemudahan yang mencukupi seperti katil hospital dan unit rawatan rapi (ICU) untuk menempatkan pesakit. Selain itu, KKM perlu sebolehnya melaksanakan standard untuk proses ujian pengesanan dalam tempoh 24 hingga 48 jam atau kurang.

4. Kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi

Seterusnya, kemampuan Malaysia untuk melindungi golongan berisiko tinggi, terutamanya golongan berusia, golongan kelainan upaya (OKU), mereka yang mendapat rawatan kemoterapi serta mempunyai penyakit komorbiditi.

5. Mengamalkan norma baharu (penjarakan sosial dan kebersihan yang baik)

Apabila PKP ditarik balik, soalan yang cukup besar adalah adakah orang awam mampu mengekal dan mengamalkan norma sosial yang baharu? Rakyat Malaysia masih perlu mengamalkan penjarakan sosial untuk tempoh masa tertentu dan ini juga bermaksud mengelakkan daripada terlibat sebarang perhimpunan dan perjumpaan. Kerajaan masih perlu mengkaji dan menanamkan di minda masyarakat untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan mengelakkan bersesak antara satu sama lain.

6. Langkah pencegahan dalam komuniti

Dr Noor Hisham turut menerangkan tentang kriteria yang paling penting iaitu cara mengenal pasti kawasan dan juga mendapatkan komuniti bersama KKM untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dalam komuniti tersebut. Rangka strategi masih dalam peringkat perbincangan iaitu dari segi pelaksanaan.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Bazar Ramadan dibatalkan, penganjur diarah pulangkan semula wang deposit peniaga

Read Next

Perjuangan untuk terus bertahan: AirAsia dan Malaysia Airlines bakal bergabung?

One Comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.