The Malaysia Post

Malaysia negara pertama daftarkan pesakit jalani ujian solidariti, untuk rawat COVID-19

Malaysia telah terpilih sebagai salah satu negara yang akan menjalankan misi menguji ubat penawar COVID-19, iaitu “Kaji Selidik Solidariti” yang diselaraskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ianya sebagai usaha antarabangsa untuk menguji beberapa jenis penawar bagi merawat jangkitan COVID-19.

Terbaharu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mendaftarkan pesakit pertamanya untuk menjalani ujian solidariti itu, menurut Pengarah Pusat Kajian Klinikal KKM, Datuk Dr Goh Pik Pin.

Selain itu, WHO Malaysia juga menerusi akaun rasmi Twitter turut memaklumkan Malaysia adalah negara pertama di Asia yang mendaftarkan pesakit tempatan di dalam ujian klinikal solidariti bagi menguji beberapa ubat penawar dalam merawat COVID-19.

Menurut Dr Goh, pasukan penyelidik ujian solidariti KKM sudah mendaftarkan pesakit pertama hari ini (21 April), 12 hari selepas diluluskan Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (MREC).

“Dengan ini, Malaysia bakal menyumbang bukti kepada dunia dalam mengenal pasti rawatan berkesan untuk pesakit COVID-19,” katanya.

Pesakit pertama yang menjalani ujian solidariti itu telah didaftarkan pada 21 April yang merupakan pesakit di Hospital Sungai Buloh. Sementara itu, pesakit kedua pula pada 22 April di Hospital Umum Sarawak.

Pada Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sembilan buah hospital di seluruh negara akan terlibat dalam usaha tersebut menggunakan kombinasi ubat Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Penggunaan ubat penawar tersebut akan dinilai dan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan.

Sembilan buah hospital yang terlibat ialah Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.

Kaji selidik itu akan diketuai oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang, Dr Chow Ting Soo bersama-sama pasukan yang terdiri daripada 16 pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital-hospital KKM masing-masing.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Skandal 1MDB: Wang milik UMNO Kedah, Habib Jewel belum dipulangkan

Read Next

Kluster baharu dikesan di Sabah, kes COVID-19 tanpa gejala awal paling tinggi dicatatkan

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.