The Malaysia Post

AirAsia perkenalkan sut PPE untuk kru kabin dan laksanakan dasar perjalanan baru sepanjang pandemik COVID-19

AirAsia memperkenalkan sut pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai seragam baharu untuk para kru kabin mereka. Ia akan digunakan untuk tujuan operasi penerbangan apabila syarikat AirAsia mula melaksanakan semula operasi dalam tempoh pandemik COVID-19.

Cawangan AirAsia di Filipina telah mula mempraktikkan pemakaian PPE itu lengkap dengan memakai pelindung muka (face shield), topeng penutup hidung dan mulut serta sarung tangan getah. Ia adalah inisiatif percubaan oleh AirAsia Filipina sendiri bagi digunakan untuk penerbangan pulang dari Bangkok ke Manila pada 24 April lalu.

Naib Ketua AirAsia Filipina, Sheila Romero menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan tanggungjawab mereka untuk membantu mencegah penularan COVID-19 dan bahan PPE yang digunakan itu telah diluluskan oleh Jabatan Kesihatan negara tersebut.

PPE yang dilancarkan itu bukan sahaja untuk menjaga keselamatan para penumpang dan kru, tetapi bagi memastikan keselesaan kru kabin yang perlu bergerak sepanjang penerbangan.

Walau bagaimanapun, syarikat AirAsia menjelaskan bahawa PPE untuk kru kabin itu masih dalam peringkat kajian. Penilaian lebih mendalam mengenai rekaan ini sedang dijalankan. Rekaan sutnya juga masih dikemaskini mengikut keperluan dan keselesaan anak kapal.

Sut PPE ini direka oleh pereka Filipina yang berpangkalan di Los Angeles, Puey Quinones dan diperbuat daripada bahan yang berkualiti dan selesa namun masih mengekalkan warna identiti AirAsia.

Beberapa gambar yang dikongsi menunjukkan sut PPE lengkap berwarna merah dan putih, beserta logo AirAsia.

Sementara itu, AirAsia juga dijadualkan akan menyambung semula penerbangan domestik mereka di beberapa negara antaranya Malaysia bermula 29 April, Thailand pada 1 Mei dan diikuti Filipina pada 16 Mei, bergantung kebenaran pihak kerajaan.

AirAsia turut melaksanakan dasar perjalanan baharu yang diwajibkan untuk penumpangnya berikutan pandemik COVID-19.

Dasar perjalanan baharu AirAsia termasuklah:

1. Membawa dan memakai topeng muka sendiri sebelum, semasa dan selepas penerbangan serta semasa mendaftar masuk dan mengambil bagasi.

2. Membenarkan hanya satu bagasi kabin tidak melebihi 5kg bagi setiap penumpang.

3. Pemeriksaan suhu di pusat pemeriksaan yang berbeza akan terdapat penanda di lantai di kawasan untuk beratur, termasuk kaunter daftar masuk dan kiosk.

Bagi kru kabin, mereka akan dikehendaki untuk memakai peralatan perlindungan di dalam pesawat termasuk topeng muka dan sarung tangan. Selain itu, kru kabin dilatih dengan prosedur untuk menguruskan pesakit atau penumpang yang disyaki tidak sihat di dalam pesawat.

Pendekatan yang diambil oleh AirAsia adalah tindakan yang patut dipuji. Sebelum ini, kita lihat kru kabin dengan pakaian yang agak seksi, kini suasana sedikit berbeza kerana perlu memakai sut PPE bagi meminimumkan penularan wabak.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Esprit akan menutup kesemua 56 outlet di Asia, termasuk Malaysia akibat pandemik COVID-19

Read Next

Kajian temukan 33 strain mutasi COVID-19, KKM pula kesan satu mutasi agresif yang jangkiti 120 individu

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.