Orang awam sudah sedia maklum bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang dalam proses membangunkan aplikasi ‘MyTrace’ yang akan dapat memudahkan pengesanan kontak COVID-19 di negara ini. Ia adalah langkah diambil oleh kerajaan setelah melihat kebanyakan negara maju yang mengambil pendekatan teknologi pintar bagi melakukan pengesanan pesakit dan kontak COVID-19 dengan lebih mudah.
Terbaharu, satu aplikasi dikenali sebagai Gerak Malaysia telah dilancarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), iaitu sebuah aplikasi pengesanan kontak COVID-19 bersumberkan lokasi. Aplikasi ini ditawarkan untuk pengguna Android serta iPhone dan telah sedia untuk dimuat turun.
Melalui penerangan aplikasi, ia akan digunakan oleh kerajaan Malaysia dalam menangani wabak COVID-19, selain turut membendung penyebaran virus melalui pengesanan kontak dan mereka yang pernah berhubung rapat dengan pesakit COVID-19. Aplikasi ini juga akan memaparkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan wabak. Gerak Malaysia menggunakan GPS untuk mengesan lokasi semasa pengguna selain Bluetooth diaktifkan untuk pengesanan jarak dekat sesama peranti sahaja.
Menurut SKMM, data peribadi pengguna yang dikumpulkan hanya akan digunakan oleh SKMM, untuk mencetak laporan, peta taburan serta lain-lain statistik untuk menyokong usaha pengesanan dan mengurangkan penyebaran COVID-19. Semua data pengguna yang didaftarkan di dalam aplikasi ini hanya akan digunakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah selepas 6 bulan tamatnya perintah PKP.
Namun begitu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendedahkan bahawa mereka tidak pernah membenarkan pengaksesan dan meluluskan aplikasi Gerak Malaysia. Pengesahan ini dibuat setelah MKN telah tampil dengan satu tweet yang menyokong kenyataan dibuat oleh MOSTI, Khairy Jamaluddin. Khairy telah menulis tweet bahawa aplikasi tersebut tidak diluluskan oleh MKN disebabkan oleh pengesanan data lokasi, walaupun Gerak Malaysia memaparkan logo MKN dalam aplikasi itu.
MKN turut mendedahkan bahawa mereka dalam proses untuk mengabungkan kedua-dua aplikasi MySejahtera dan MyTrace dalam satu aplikasi sahaja. Ini mungkin adalah satu langkah yang betul kerana tiada sebab yang munasabah untuk kerajaan melancarkan lebih daripada satu aplikasi pengesanan COVID-19 yang hanya akan membinggungkan orang awam.
Apa-apa pun, agensi kerajaan perlu segera mula bekerjasama dengan satu sama lain daripada mengeluarkan perkara yang bercanggah. Drama dalaman antara agensi kerajaan tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi pada saat kritikal seperti pandemik yang kita hadapi ini.