Kes keseluruhan yang telah dijangkiti COVID-19 di Malaysia setakat ini telah pun mencapai 3,793 individu dengan 1,241 telah pun pulih sepenuhnya dari virus tersebut. Walaupun jumlah kematian terus meningkat, namun pujian harus diberikan kepada barisan ‘frontliners’ dan kementerian kesihatan yang berusaha sedaya upaya menyelamatkan mangsa-mangsa terjejas koronavirus.
Melihat kepada trend pesakit COVID-19, sejumlah besar mereka yang dijangkiti merupakan golongan berusia dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit-penyakit kronik. Namun begitu, golongan muda atau wanita mengandung turut tidak terkecuali boleh mendapat simptom wabak ini. Justeru itu, wanita mengandung yang memasuki trimester ketiga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini pasti merasa khuatir untuk menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan dan juga persiapan untuk bersalin sepanjang tempoh PKP.
Jadi, persiapan dari segi fizikal dan mental wanita mengandung ketika tempoh ini perlulah kuat dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Wanita mengandung dinasihatkan supaya hanya membawa seorang peneman sahaja bersama ketika menjalani pemeriksaan kandungan. Pastikan juga anda mengamalkan penjarakan sosial ketika di klinik atau hospital, di samping menjaga kebersihan dan kerap mencuci tangan.
Jika anda mengalami sebarang gejala seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak, anda dinasihatkan untuk memberitahu pihak klinik supaya pemeriksaan dapat ditangguhkan sehingga tempoh pengasingan tamat.
Wanita mengandung juga tidak digalakkan untuk merantau atau pulang ke kampung sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Ini bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan. Anda harus tetap berada di rumah dan bersalin di hospital yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal.
Tetapi, sekiranya secara kebetulan anda sudah berada di kampung sewaktu tempoh PKP, maklumkan kepada klinik kesihatan terdekat untuk melapor diri bagi membolehkan pemeriksaan kandungan dan rujukan bersalin di hospital terbabit. Elakkan untuk keluar rumah jika tidak mempunyai alasan munasabah seperti urusan pmeriksaan kandungan dan bersalin sahaja.
Jika anda sudah merasakan seperti hendak bersalin, persediaan secara fizikal dan mental perlu ada kerana anda hanya ditemani dengan petugas wad bersalin. Hospital telah mengehadkan pelawat dan menangguhkan Polisi Mesra Ibu untuk elakkan penularan wabak COVID-19 kepada wanita bersalin.
Selain itu, jika terdapat tanda-tanda seperti kontraksi yang kerap, pendarahan atau pecah air ketuban, anda disarankan segera ke hospital. Anda boleh memohon bantuan pihak polis untuk menggunakan laluan kecemasan sekiranya kontraksi bertambah semakin kuat dan anda mengalami sekatan perjalanan sepanjang tempoh PKP.
Anda juga harus melalui kaunter saringan di pintu masuk hospital. Anda perlu memberitahu kakitangan bertugas sekiranya anda bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak, atau mempunyai sejarah perjalanan dan kontak dengan pesakit COVID-19. Kemungkinan, anda perlu mengisi borang deklarasi COVID-19 yang mengandungi segala maklumat di atas. Suhu badan anda juga akan diambil untuk memastikan anda tiada gejala sebelum anda masuk ke dewan bersalin.
Anda tidak perlu memakai topeng muka ketika bersalin sekiranya anda tiada gejala. Anda juga tidak perlu risau terkena jangkitan COVID-19 ketika bersalin, kerana pesakit-pesakit yang telah disahkan positif COVID-19 akan diasingkan dan dirawat di hospital khas yang berbeza dengan anda.
Kebanyakan hospital telah menghadkan waktu lawatan atau tidak membenarkan pelawat menziarahi pesakit untuk mengurangkan risiko jangkitan. Adalah dinasihatkan supaya anda sentiasa bertenang dan fokus untuk memulihkan kesihatan anda selepas bersalin dan menyusukan bayi anda.
Sekiranya tiada masalah, anda akan dibenarkan pulang ke rumah dalam 12 jam ke 24 jam selepas bersalin secara normal. Walau bagaimanapun, anda harus dipantau dari dua hingga ke tiga hari sekiranya anda bersalin secara pembedahan.
Anda tidak digalakkan untuk pulang ke kampung untuk berpantang sepanjang tempoh PKP ini. Berpantanglah di rumah anda dengan bantuan suami. Anda juga tidak digalakkan untuk menerima sebarang pelawat di rumah anda untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada anda dan bayi anda.
Setiap individu perlu bertanggungjawab untuk mengekang penularan wabak COVID-19 yang menjadi ancaman dunia dan melumpuhkan ekonomi negara. Bersama-samalah kita mengikut semua arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan serta mematuhi PKP agar wabak ini dapat dikekang.