Itali mengumumkan sekatan perjalanan dan langkah pemeriksaan kesihatan awam yang ketat di seluruh negara bermula hari ini. Negara itu juga kini diletakkan di bawah perintah berkurung sehingga bulan depan atas faktor keselamatan.
Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte berkata keputusan kerajaan itu memerlukan 60 juta rakyat Itali menunjukkan sebab untuk melakukan perjalanan ke tempat kerja, tujuan perubatan atau kecemasan dan sebab-sebab lain bagi perjalanan luar kawasan tempat mereka tinggal.
Ia adalah usaha baharu yang tidak pernah diduga dan dilakukan dalam usaha mengatasi COVID-19 di negara Eropah itu yang paling teruk dilanda wabak itu.
Conte memberitahu pemberita semalam, langkah-langkah yang diperkenal-kan dua hari lalu di kebanyakan kawasan utara tidak lagi mencukupi selepas angka kematian melonjak akibat virus berkenaan. Ini katanya memaksa seluruh negara melakukan pengorbanan untuk menghentikan penyebarannya.
“Keputusan yang tepat hari ini ialah untuk kekal di rumah. Masa depan kita dan masa depan Itali berada di tangan kita. Hari ini tangan-tangan ini perlu lebih bertanggungjawab berbanding sebelum ini,” kata Conte sambil menambah bahawa perkara itu akan berkuatkuasa hari ini.
Conte menegaskan semua perhimpunan awam di luar akan dilarang manakala semua acara sukan, termasuk perlawanan bola sepak liga utama Serie A digantung, menyebabkan liga kejuaraan yang mendapat tontonan ramai itu terjejas.
“Kami tidak lagi mempunyai masa. Jumlah angka menunjukkan bahawa terdapat peningkatan ketara dalam jumlah jangkitan, mereka yang menerima rawatan rapi dan angka kematian,” katanya dalam satu kenyataan yang suram. Tabiat kita perlu berubah sekarang, dan kita perlu memberi tumpuan kepada Itali,” katanya.
Bukan itu sahaja, semua sekolah dan universiti di seluruh negara ditutup sejak minggu lalu hingga 15 Mac, dan tidak akan dibuka semula sebelum bulan depan.
Sekatan-sekatan itu kini diperluaskan supaya peraturan sama akan merangkumi seluruh negara, kata Conte. Kerajaan telah mengarahkan panggung wayang, teater dan muzium ditutup dan memberitahu kedai dan restoran memastikan pengunjung menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain. Semua restoran dan bar kini perlu ditutup pada jam 6 petang dan semua resort ski Alpine wajib ditutup. Bagaimanapun, pengangkutan awam akan terus beroperasi di seluruh Itali.
Itali mencatatkan 1,807 lagi kes sejak Isnin menjadikan keseluruhan angka kes 9,172. Dengan angka tersebut, Itali mengatasi Korea Selatan sebagai negara di luar China yang mempunyai angka kes tertinggi. Bilangan mereka yang meninggal dunia meningkat kepada 463 orang.