LAS VEGAS Bintang pop global, Billie Eilish sekali lagi membuktikan pengaruh dan kredibilitinya dalam industri muzik antarabangsa apabila menyapu bersih tujuh trofi utama dalam Anugerah Muzik Amerika (American Music Awards – AMA) 2025 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Fontainebleau, Las Vegas malam tadi.
Billie Eilish Menang Besar di AMA 2025
Majlis anugerah berprestij yang dihoskan oleh Jennifer Lopez itu menyaksikan Eilish dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori Artis Wanita Pop Kegemaran, Album Pop Kegemaran (melalui “Hit Me Hard and Soft”), Lagu Pop Kegemaran (Birds of a Feather), Lagu Terbaik Tahun Ini, Album Terbaik, dan Artis Jelajah Kegemaran.
Walaupun tidak hadir secara fizikal kerana sedang menjalani siri jelajah konsert di Eropah, penyanyi dan komposer berusia 23 tahun itu tetap tampil melalui paparan video yang dirakam khas untuk acara tersebut.
“Ini sangat luar biasa. Saya benar-benar tidak tahu nak kata apa. Saya berharap dapat berada di sana bersama anda semua,” ujar Eilish dalam ucapannya yang ditayangkan ketika majlis berlangsung.
Billie Eilish Tebus Kekecewaan Grammy, Perkukuh Legasi
Kemenangan besar ini hadir selepas kekecewaan di Anugerah Grammy 2025, di mana Billie Eilish gagal membawa pulang sebarang anugerah walaupun dicalonkan dalam tujuh kategori. Namun, pengiktirafan daripada AMA ini seakan menjadi penawar kepada kegagalan tersebut.
Album terbaharu Billie, “Hit Me Hard and Soft”, yang berjaya meraih kedudukan kedua dalam carta Billboard 200, mengukuhkan lagi kedudukan Billie Eilish sebagai figura berpengaruh di pentas muzik global meskipun tidak menawan tangga teratas.
Baca juga:
- Bergaya Dengan Gaun ‘Safety-pin’, Penampilan Anne Hathaway Di Met Gala 2023 Raih Pujian
- Siti Nurhaliza Berjaya Pukau David Foster di Konsert Hitman David Foster & Friends Asia Tour 2023
Bintang Lain Juga Bersinar di AMA (American Music Awards – AMA) 2025
Selain Eilish, Lady Gaga dan Bruno Mars turut mencuri tumpuan apabila meraih kejayaan menerusi kolaborasi mereka dalam lagu Die With a Smile yang memenangi kategori Video Muzik Kegemaran dan Kolaborasi Terbaik Tahun Ini. Gaga juga membawa pulang trofi Artis Dance/Elektronik Kegemaran, manakala Mars memenangi Artis Lelaki Pop Kegemaran untuk tahun ketiga berturut-turut.
Sementara itu, nama-nama besar seperti Post Malone, SZA, The Weeknd, Bad Bunny, Beyonce, Eminem, dan Twenty One Pilots masing-masing memenangi dua kategori berbeza.
Namun, kejutan terbesar ialah kegagalan Taylor Swift penerima terbanyak anugerah AMA sepanjang sejarah (40 trofi) menambah koleksi tahun ini walaupun menerima enam pencalonan.
Artis lain seperti Chappell Roan, Shaboozey, dan Sabrina Carpenter juga pulang dengan tangan kosong walaupun tersenarai dalam beberapa kategori utama.