Kuala Lumpur, 29 April 2025: Seramai 91 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak berjaya diselamatkan dalam insiden kebakaran yang berlaku di bangunan asrama sekolah malam tadi, selepas warden bertugas bertindak pantas mengarahkan mereka keluar sebaik menyedari kejadian.
Asrama Sekolah Terbakar, Warden Segera Arah Pelajar Keluar
Kebakaran asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak berlaku kira-kira jam 8.30 malam dan disedari oleh warden, Muhd Nazmie Muhd Nasir, 31, yang ketika itu berada berhampiran bangunan asrama.
“Sebaik saja terdengar bunyi kaca pecah, saya terus membunyikan loceng kecemasan dan arahkan semua pelajar berkumpul di kawasan selamat,” katanya.
Ketika kejadian, semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak sedang berada di surau bagi menunaikan solat berjemaah. Berkat latihan kebakaran yang pernah dijalankan sebelum ini, semua pelajar berjaya keluar dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Kehadiran Pantas Bomba Elak Tragedi Lebih Buruk di SMK Tinggi Setapak
Tindakan segera guru serta kehadiran pantas pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak lebih jauh, walaupun api menyebabkan kerosakan serius pada enam dorm yang menempatkan pelajar tingkatan satu hingga lima.
Barangan seperti komputer riba, penghawa dingin, peti sejuk, televisyen, mesin basuh,pakaian dan kasut pelajar, dialporkan terbakar dan dianggarkan melibatkan kerugian puluhan ribu ringgit.
Baca juga:
- Perlengkapan Sekolah Hangus Dijilat Api
- Putera mahkota mahu pengasingan kaum di sekolah-sekolah Johor dihentikan
PdPR Diteruskan, Keselamatan Pelajar SMK Setapak Diutamakan
Pengetua SMK Tinggi Setapak, Noraizah Shaharuddin, memaklumkan bahawa pihak sekolah telah mengaktifkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan sesi pembelajaran pelajar tidak terjejas sementara menunggu usaha pemulihan asrama.
“Kami bersyukur tiada kemalangan jiwa dan semua pelajar berjaya diselamatkan. Keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak sekolah,” ujar beliau.
Ibu bapa mula hadir mengambil anak-anak mereka seawal jam 10.30 malam dan pelajar terakhir meninggalkan kawasan sekolah pada jam 12.45 tengah malam.
Sekolah kini sedang menunggu bantuan susulan bagi membekalkan semula keperluan asas pelajar, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk PIBG dan pihak berkuasa tempatan.