KOTA BHARU, 22 April 2025 – Kelantan kini diiktiraf sebagai negeri kedua paling selamat di Malaysia berdasarkan laporan terbaharu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menunjukkan negeri ini mencatatkan kadar jenayah kedua terendah di negara ini.
DOSM Sahkan Kelantan Antara Negeri Paling Selamat di Malaysia
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, laporan indeks jenayah yang dikeluarkan DOSM menunjukkan Kelantan mencatatkan hanya 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk, sekali gus menjadikannya antara negeri yang mencatatkan tahap keselamatan awam tertinggi di Malaysia selepas Sabah.
“Indeks jenayah ini merangkumi kes jenayah kekerasan, pembunuhan, kecederaan, jenayah terhadap harta benda, rogol, rompakan dan kecurian,” jelas beliau ketika menjawab soalan daripada Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) dalam Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Baca lagi | TOP 10 Tempat Menarik di Kelantan
Kelantan Kalahkan Negeri Lain Dalam Aspek Keselamatan Awam
Tambah beliau lagi, status ini menunjukkan bahawa usaha pihak berkuasa dalam mengekang kadar jenayah di Kelantan semakin berhasil, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sosial seperti penyalahgunaan dadah dan masalah sosial lain.
“Masalah sosial dan jenayah merupakan isu nasional, dan bukan hanya tertumpu kepada mana-mana negeri sahaja,” katanya lagi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.
Baca lagi | Sultan Kelantan memberitahu agar rakyat tidak melintasi sempadan negeri untuk Aidiladha
Jenayah Terkawal di Kelantan, Kini Diiktiraf Paling Selamat
Laporan yang dikeluarkan oleh DOSM ini diyakini mampu memperbetulkan persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan Kelantan, serta membuka lebih banyak peluang kepada pelabur dan pelancong untuk melihat potensi besar negeri tersebut dalam suasana yang aman dan stabil.
Pihak kerajaan negeri turut menyatakan komitmen berterusan dalam memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, memperkukuhkan kerjasama antara agensi keselamatan, serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan jenayah.