Dahulu dikenali sebagai sekadar kudapan ringan, pistachio – atau lebih mesra dipanggil pistasio dalam kalangan masyarakat tempatan – kini berubah status menjadi bahan mewah dalam dunia kulinari moden Malaysia.
Berasal dari keluarga Anacardiaceae, pistachio mula melonjak popularitinya apabila ia bukan sahaja dijadikan hiasan atas kek atau campuran dalam aiskrim, malah turut menjadi perasa utama dalam minuman seperti latte pistasio yang kini menjadi fenomena di kafe-kafe hipster seluruh negara.
Keunikan Rasa dan Fleksibiliti Kacang Pistachio
Menurut Dr Mohd Hairi Jalis, Pensyarah Kanan Seni Kulinari dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), keunikan pistachio terletak pada profil rasanya yang kompleks – sedikit manis, berlemak lembut dan memiliki rasa ‘nutty’ yang halus. Keistimewaan ini menjadikan pistachio sangat fleksibel dan sesuai digunakan dalam pelbagai bentuk masakan termasuk pes, krim, mousse, ganache dan gelato.
“Lemak semula jadi dalam pistachio menghasilkan tekstur yang licin dan berkrim. Ini menjadikan ia bahan utama yang ideal dalam pencuci mulut berteknik tinggi,” ujar beliau.
Dr Mohd Hairi juga menjelaskan bahawa rasa pistachio mampu menyatukan pelbagai komponen dalam sesuatu hidangan, menjadikan ia lebih seimbang dari segi rasa dan tekstur.
Baca lagi | 10 Kebaikan Minyak Badam Pada Kesihatan Tubuh
Kacang Pistachio dan Daya Tarikan Visual dalam Era Media Sosial
Selain cita rasa yang unik, pistachio turut mempunyai kelebihan visual – warna hijau lembutnya mencipta kontras yang menarik dalam makanan dan minuman. Dalam era media sosial yang mementingkan estetika, kehadiran pistachio dalam sajian memberi nilai tambah visual dan persepsi mewah.
Tambahan pula, pistachio sering dikaitkan dengan budaya kulinari Timur Tengah dan Eropah, yang menyumbang kepada tanggapan sebagai bahan eksklusif serta meningkatkan keinginan pengguna untuk mencubanya.
Baca lagi | 8 Kebaikan Minyak Rosemary Pada Kesihatan Tubuh
Kreativiti Kacang Pistachio dalam Resipi Tempatan
Pistachio bukan hanya sesuai untuk sajian moden, malah boleh disesuaikan dalam hidangan tradisional Malaysia. Dr Mohd Hairi mencadangkan pelbagai olahan seperti:
- Seri muka berkrim pistasio
- Kuih bangkit pistachio
- Dodol atau wajik dengan kacang pistasio kisar
Namun begitu, populariti tinggi pistachio turut menyebabkan berlakunya isu pemalsuan bahan, di mana produk yang mendakwa berperisa pistachio sebenarnya hanya menggunakan pewarna hijau atau pes tiruan tanpa kandungan pistachio sebenar – yang boleh menjejaskan integriti dan kualiti kulinari.
Manfaat Kesihatan dan Kebaikan Kacang Pistachio
Pegawai Dietetik dari Universiti Putra Malaysia, Faten Abdunroha Kama, menyatakan pistachio kaya dengan lemak baik, protein, serat, dan antioksidan, menjadikannya snek sihat yang boleh menyokong kesihatan jantung dan membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama.
Namun, beliau memberi peringatan agar pengguna berhati-hati dengan produk berperisa pistachio yang telah diproses secara berlebihan – contohnya aiskrim, kek, atau pes yang mungkin mengandungi gula tambahan, perisa tiruan, dan lemak trans yang tinggi.
“Walaupun makanan tersebut mengandungi pistachio, kebanyakan daripadanya termasuk dalam kategori makanan ultra proses yang rendah nilai nutrien dan boleh memberi kesan buruk jika diambil berlebihan,” jelasnya.