PETALING JAYA – Selepas bertahun-tahun dilanda konflik yang tidak berkesudahan, penyanyi tersohor Datuk Nora Ariffin akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka kepada isteri pertama suaminya, Puan Rose, serta anak tirinya, Alia, dalam usaha meleraikan kemelut rumah tangga yang semakin meruncing.
Menurut Nora, permohonan maaf ini dibuat selepas beliau mencuba pelbagai cara untuk mengakhiri ketegangan yang wujud antara mereka.
“Pihak saya, termasuk suami, Dr. Rushdi, sudah berusaha dalam pelbagai cara untuk berbaik dan berdamai dengan isteri pertama serta keluarganya.
“Malah, saya ingin menyelesaikan segala salah faham yang timbul. Antara langkah yang telah diambil termasuklah Dr. Rushdi memberikan nasihat, teguran, dan beberapa kali cuba mengatur pertemuan antara saya, beliau, Puan Rose dan Alia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Usaha Damai Nora Ariffin dengan Madu Melalui Mediasi Tidak Berjaya
Tambah Nora, pihaknya juga telah mengambil langkah undang-undang bagi memastikan penyelesaian yang adil dan harmoni.
“Pada 2 Disember, saya telah menyerahkan surat jemputan kepada Alia bagi sesi mediasi yang ditetapkan untuk menyelesaikan setiap isu dengan cara terhormat.
“Namun, malangnya, Alia tidak hadir dan langsung tidak mengendahkan jemputan tersebut,” katanya.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu, sejak tahun 2019, pelbagai kenyataan yang dimuat naik oleh Alia di media sosial telah menjejaskan reputasinya dengan teruk.
“Saya menjadi sasaran kecaman tanpa henti. Kata-kata fitnah dan tohmahan yang dilemparkan telah mencetuskan kebencian masyarakat terhadap saya, sekaligus menjejaskan nama baik dan kerjaya saya sebagai seorang penyanyi,” luahnya dengan nada kecewa.
Tuduhan Berlarutan Terhadap Nora Ariffin, Tiada Permohonan Maaf
Nora turut meluahkan rasa sedihnya kerana walaupun telah berusaha sedaya upaya untuk berdamai, balasan yang diterima daripada Alia amat mengecewakan.
“Saya telah lama mengalami tekanan emosi akibat kecaman yang melampau. Segala pernyataan negatif yang diterbitkan oleh Alia telah memberikan impak besar terhadap kehidupan saya,” jelasnya.
Namun begitu, pada 24 Februari lalu, Nora mengambil langkah besar dengan memohon maaf secara terbuka.
“Saya merendahkan diri memohon maaf demi berdamai dan berbaik dengan Puan Rose serta Alia. Saya harap langkah ini akan membuka jalan kepada penyelesaian yang lebih baik,” katanya lagi.
Baca lagi | Nora Ariffin Dedah Punca Sebenar Perceraian, Minta Suami Tak Dipersalahkan
Nora Ariffin Pujuk Suami Untuk Cerai Demi Anak Tiri
Baru-baru ini, timbul pula satu lagi perkembangan mengejutkan apabila Nora mendedahkan bahawa beliau dalam proses memujuk suami agar menceraikannya buat kali kedua. Keputusan itu diambil semata-mata untuk memenuhi permintaan anak tirinya, yang dikatakan sudah lama mahu melihat mereka berpisah.
Konflik antara Nora dan Alia mula mendapat perhatian umum selepas penyanyi itu mendakwa bahawa dirinya telah digelar dengan pelbagai kata-kata kesat, termasuk “wanita sundal” oleh anak tirinya sendiri.
Sebagai tindak balas, Alia menafikan segala tuduhan itu dan mendakwa memiliki bukti perbualan yang menunjukkan bahawa Nora juga pernah memaki hamun keluarganya.
Baca lagi | Nora Ariffin menafikan khabar angin perkahwinan Annuar Musa
Perceraian, Rujuk dan Keputusan Sukar Nora Ariffin
Pada 12 Ogos tahun lalu, Nora mengejutkan peminat apabila memuat naik video berdurasi 52 saat yang menunjukkan suaminya, Dr. Rushdi, melafazkan cerai talak satu terhadapnya. Bagaimanapun, beliau kemudiannya memaklumkan bahawa perceraian tersebut telah berlaku sebelum video itu dimuat naik.
Tidak lama selepas itu, Nora kembali mengejutkan ramai apabila mengesahkan bahawa beliau telah rujuk semula dengan Rushdi pada 14 September 2024.
Untuk rekod, pasangan ini sah bergelar suami isteri pada tahun 2021. Sebelum berkahwin dengan Nora, Dr. Rushdi merupakan sahabat baik kepada Allahyarham Johan Nawawi, suami pertama Nora yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.