Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan penstrukturan semula akaun KWSP mulai 12 Mei 2024. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pendapatan selepas persaraan serta menangani keperluan kitaran hidup ahli. Salah satu elemen terpenting dari penstrukturan ini adalah pengenalan Akaun Fleksibel, yang memberi ahli KWSP fleksibiliti untuk membuat pengeluaran untuk keperluan kewangan jangka pendek.
Pengenalan Akaun Fleksibel
Akaun Fleksibel merupakan salah satu daripada tiga akaun baharu yang diperkenalkan oleh KWSP. Ia membolehkan ahli untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek. Berikut adalah pecahan simpanan bagi setiap akaun:
- Akaun Persaraan (75%): Sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, simpanan ini adalah untuk persaraan.
- Akaun Sejahtera (15%): Sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2, simpanan ini adalah untuk keperluan kitaran hidup semasa persaraan.
- Akaun Fleksibel (10%): Simpanan ini memberi fleksibiliti untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek.
Cara Pemindahan ke Akaun 3
Proses pemindahan ke Akaun Fleksibel boleh dilakukan melalui langkah-langkah berikut:
- Login ke I-Akaun KWSP.
- Klik pada pilihan “Ketahui Lanjut” di bahagian atas kiri skrin.
- Baca dan fahami penerangan yang diberikan sebelum meneruskan.
- Klik “Teruskan”.
- Jika berminat untuk melakukan pemindahan, klik “Pindah Sekarang”.
- Klik “Teruskan”.
- Anda akan diberi maklumat jumlah simpanan SEBELUM dan SELEPAS pemindahan.
- Klik “Teruskan” jika anda bersetuju.
- Baca dan terima Perakuan Ahli untuk meneruskan proses pemindahan.
- Klik “Ya” untuk meneruskan proses.
Proses pemindahan ini akan memakan masa kira-kira 3-5 hari bekerja untuk diluluskan. Permohonan anda tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP.
Baca lagi | Adakah Kadar Dividen KWSP Akaun 3 Lebih Rendah Daripada Akaun 1 atau 2?
Syarat Pengeluaran dari Akaun Fleksibel
Untuk membuat pengeluaran dari Akaun Fleksibel, ahli perlu mematuhi syarat-syarat berikut:
- Warganegara atau Bukan Warganegara.
- Belum mencapai umur 55 tahun.
- Mempunyai simpanan dalam Akaun Fleksibel.
- Pengeluaran boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan had minimum pengeluaran sebanyak RM50.
Permohonan pengeluaran boleh dibuat secara dalam talian melalui I-Akaun KWSP atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. Pemindahan ke Akaun Fleksibel hanya dibenarkan SEKALI sahaja dengan tarikh akhir pemindahan pada 31 Ogos 2024. Ahli juga berhak untuk TIDAK memindahkan sebarang amaun ke Akaun 3.
Baca lagi | Akaun 3 KWSP: Peluang Baru untuk Pengeluaran Fleksibel
Cara Pengeluaran dari Akaun Fleksibel
Selepas pemindahan permulaan ke Akaun 3 berjaya, ahli boleh membuat pengeluaran dari Akaun Fleksibel dengan langkah-langkah berikut:
- Login ke I-Akaun dan klik pada pilihan “Pengeluaran”.
- Pilih “Pengeluaran Simpanan”.
- Pilih jenis pengeluaran (Akaun Fleksibel).
- Jumlah yang dibenarkan keluar akan dipaparkan.
- Klik “Keluarkan Sekarang” untuk membuat pengeluaran.
Dengan penstrukturan ini, KWSP memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada ahli dalam menguruskan simpanan mereka, terutama dalam situasi kecemasan atau keperluan kewangan mendesak. Dengan memahami proses pemindahan dan pengeluaran, ahli dapat memanfaatkan dengan bijak Akaun Fleksibel untuk meningkatkan keselamatan kewangan mereka selepas persaraan.