KUALA KEDAH: Perikatan Nasional (PN) akan diwakili Parti Gerakan yang disahkan akan bertanding dalam tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Walau bagaimanapun, Datuk Dominic Lau sebagai Presiden menyatakan bahawa perincian berkenaan ketiga-tiga DUN tersebut akan dimaklumkan pada Rabu depan di Ibu Pejabat PN di Kuala Lumpur.
Beliau memaklumkan hal tersebut selepas Persidangan Perwakilan Peringkat Negeri Kedah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di Jalan Kuala Kedah malam tadi.
Persiapan Dilakukan Bersama Parti Lain
Beliau menyatakan bahawa persiapan yang dilakukan oleh parti tersebut untuk menghadapi PRN kali ini bersama dengan gabungan PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan Pas berjalan dengan baik. Momentum ini diharapkan dapat membawa kejayaan kepada Parti Gerakan selepas kekalahan yang teruk dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.
“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kita akan bertanding tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, tiga kerusi tersebut akan dipertandingkan oleh Parti Gerakan di bawah Perikatan Nasional.”
Menurutnya, walaupun rundingan mengenai kerusi yang dipertandingkan hampir selesai, perincian mengenai parti yang akan bertanding mewakili PN di setiap DUN akan diumumkan pada 22 Jun ini.
Baca lagi | Analisis Politik: Kritikan Dalaman Menguatkan Musuh Politik Umno – Sivamurugan Pandian
Kriteria-kriteria Calon Telah Ditetap
Pada masa yang sama, Dominic menyatakan bahawa beberapa kriteria telah ditetapkan oleh Gerakan dalam pemilihan calon yang akan bertanding dalam PRN nanti. Antara kriteria-kriteria tersebut adalah memiliki kemampuan dan potensi yang besar untuk memenangi DUN yang dipertandingkan, memiliki kestabilan kewangan, serta lancar berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.
“Keperluan kepada kriteria-kriteria ini sangat penting kerana kami tidak mahu melantik calon hanya sekadar dilantik atau dipilih sebagai Yang Berhormat (YB), tetapi tidak dapat mempertahankan hak-hak rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat, dan Dewan Negara.”
Baca lagi | Dakwaan Annuar Musa Mengenai Dua Juta Ahli Umno Keluar Parti Tidak Berasas – Tok Mat
“Kami di Gerakan menyedari bahawa kemahiran berbahasa Melayu sangat penting bagi seorang YB atau wakil rakyat. Jika tidak dapat memenuhi kriteria ini, jangan berharap untuk menjadi calon Gerakan atau Yang Berhormat kelak,” katanya dengan tegas.
Semalam, Presiden Gerakan tersebut mengumumkan bahawa parti ini, sebagai komponen PN, akan bertanding di empat daripada enam negeri yang akan menyertai PRN dalam masa terdekat. Empat negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, dan Kedah.