Terletak di timur semenanjung Malaysia, Terengganu menjadi tempat tumpuan pelancongan dari dalam mahupun luar negara. Ekoran dari kekayaannya dengan pulau-pulau yang indah,hutan yang masih terpelihara flora dan faunanya, keunikan kebudayaannya disamping terdapat pelbagai jenis makanan tradisional yang enak.
Oleh itu, jangan lepaskan peluang anda untuk melancong ke Terengganu. Disini kami ingin memperkenalkan 10 tempat yang menarik yang wajib anda lawati semasa bercuti ke sini.
Senarai Tempat Menarik di Terengganu Paling Popular
#1. Masjid Kristal
Melihat dari jauh, anda pasti rasa terpukau dengan tersergam indah sebuah masjid yang dibina diatas sungai.
Masjid Kristal menjadi lebih indah terutama apabila melihatnya selepas terbenam matahari kerana ianya dilimpahi cahaya lampu yang berwarna warni.
Selain dari menjadi tempat ibadat bagi kaum muslim, masjid kristal dapat menarik perhatian pelancong kerana keunikannya dari strusktur binaanya yang menggunakan besi, kaca dan kristal membuatkan ianya menjadi unik.
Melihatnya sahaja jelas terpancar nilaiannya yang mencecah jutaan ringgit.
Baca lagi | Ini 10 Tempat Menarik Di Perlis Yang Paling Best Untuk Anda Lawati
#2. Taman Tamadun Islam
Selain berjalan-jalan, dapat juga menambah ilmu pengetahuan dan melihat sejarah di Taman Tamadun Islam.
Melalui dari replika-replika masjid anda dapat menyaksikan bukti kemajuan dan kejayaan islam.
Jangan lepaskan peluang dengan datang kesini kerana ianya berdekatan sahaja dengan masjid kristal.
#3. Air Terjun Tasik Putri
Air Terjun Tasik Putri terletak di Bukit Besi. Ianya menjadi destinasi pilihan untuk berekreasi dan mengadakan fotografi.
#4. Masjid Lapan Kubah atau Masjid Russia
Masjid Lapan Kubah ini terletak di Jerteh, ianya mendapat jolokan sebagai Masjid Russia kerana keunikan senibinanya yang seakan akan St Basil Cathedral di Moscow,Russia.
Masjid ini menjadi tumpuan kerana terletak di kawasan sawah padi dan menjadi antara masjid ikonik.
#5. Bukit Keluang
Bagi anda yang suka mendaki jangan lepaskan peluang anda untuk mendaki Bukit Keluang yang terletak 4km dari pekan Kuala Besut.
Anda pasti jatuh cinta dan terpesona dengan keindahan alam semulajadinya berlatarkan pemandangan Laut China Selatan disajikan kehijauan hutan di pesisiran pantai.
#6. Bukit Maras
Ramai yang menggemari pelbagai aktiviti lasak termasuk sukan luncur udara atau paragliding.
Lokasi yang menarik yang anda boleh cuba yang terletak di Bukit Maras,Kuala Terengganu. Laluan ke puncak juga sesuai untuk pemula dalam mendaki bukit.
Laluan ini tidak terlalu mencabar. Dengan pemandangan yang menarik, ia adalah tempat yang sesuai untuk bergambar.
Satu pengalaman yang lebih menarik adalah berkhemah di sini semalam. Anda dapat menikmati pemandangan sekitar yang menarik semasa senja, malam, dan awal pagi.
Baca lagi | 15 Tempat Menarik Di Pulau Pinang Paling Disukai Oleh Pelancong
#7. Pulau Kapas, Bukit Singa
Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Kapas adalah terkenal di kalangan pengunjung sebagai salah satu pulau yang menarik untuk dilawati di Terengganu kerana kecantikannya dan lokasinya yang berdekatan dengan Jeti Marang.
Keindahan semula jadi pulau ini telah menarik ramai pelancong terutamanya para pencinta pulau.
Terdapat satu tempat di pulau ini yang menjadi tarikan utama selain dari keindahan pasirnya.
Tempat tersebut adalah Bukit Singa, yang merupakan tanda pengenal Pulau Kapas. Jika anda mengunjungi Pulau Kapas, selain daripada aktiviti snorkeling, mendaki Bukit Singa adalah satu
aktiviti yang wajib anda lakukan.
Walaupun bukitnya tidak tinggi, tetapi perjalanan ke bukit ini sedikit berbahaya. Anda akan melalui kawasan berbatu dan terdapat batu yang tajam. Oleh itu, sentiasa berhati-hati.
Selain itu, pastikan anda memakai pakaian yang sesuai. Apabila anda tiba di puncak, anda akan disajikan dengan pemandangan yang cukup mengagumkan. Pastinya anda tidak mahu terlepas peluang untuk mengambil gambar yang menarik sambil menikmati pemandangan laut yang indah.
#8. Kampung Jambu Bongkok
Bagi mereka yang gemar berfoto, anda boleh singgah ke Kampung Jambu Bongkok. Tempat ini sangat indah untuk anda ber OOTD (Outfit of the Day).
Di sini anda akan lihat terdapat banyak tempat menarik dan pondok serta buaian yang telah dibina oleh penduduk tempatan untuk kegunaan pelancong yang datang berkunjung ke kampung ini.
Selain itu, ia terletak di tepi pantai dan terdapat banyak pokok kelapa yang menambah keindahan pemandangan di sini.
Kampung Jambu Bongkok juga sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan. Jika anda mengunjungi Marang, jangan lupa untuk singgah ke sini!
#9. Pantai Penarik
Antara pantai popular yang menjadi tumpuan pelancong di Terengganu. Selain memukau dengan keindahannya, Pantai Penarik juga terkenal dengan makanan celup tepung.
Warna air lautnya yang biru (jika bukan musim monsun), pasir putih pantainya, dan pemandangan pokok hijau menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan.
Kawasan ini dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur, gerai makanan, tempat rehat, dan tempat yang menarik untuk berfoto ketika berada di Pantai Penarik.
Anda boleh menjadikan Pantai Penarik sebagai salah satu destinasi pelancongan anda.
#10. Jambatan Angkat Terengganu (Terengganu Drawbridge)
Merupakan mercu tanda di Terengganu Jambatan Angkat Terengganu atau Terengganu Drawbridge ini tidak hanya menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penduduk setempat tetapi juga menjadi tarikan pelancong ke Terengganu.
Jambatan ini terkenal untuk sesi pengambilan gambar. Anda boleh mengambil gambar di atas jambatan atau di kawasan sekitarnya dengan latar belakang jambatan ini.
Bagaimanapun, untuk mendapatkan gambar yang lebih menarik dan indah, anda boleh menaiki bot.
Pergi pada waktu pagi atau petang, semasa matahari sedang terbit atau terbenam, anda boleh mendapatkan gambar yang cantik.
Jika anda mencari perkhidmatan bot untuk lawatan ini, kami mengesyorkan anda naik dengan Sekati Emas Boat Tour.
Jadi, di mana pilihan anda? Atau jika terdapat tempat menarik lain yang tidak disebut di atas, sila kongsikan dengan pembaca lain dalam ruang komen. Selamat bercuti!