Dua kapal dagang asing rosak dalam perlanggaran selepas sebuah hilang kawalan di 11.7 batu nautika barat daya Tanjung Laboh dekat Batu Pahat hari ini.
Pengarah zon maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Baru dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui Jabatan Laut wilayah selatan pada 4.18 pagi.
“Semakan menunjukkan perlanggaran melibatkan MV GSL Grania dari Liberia dan MV Zephyr I dari Panama.
“Susulan itu, pusat operasi zon maritim Batu Pahat menghantar bot Benteng 05 ke lokasi untuk menjalankan misi pemantauan dan bantuan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Kedua-dua anak kapal selamat dan tiada tumpahan minyak,” kata Mohd Haniff dalam satu kenyataan malam ini.
Mohd Haniff berkata semakan dengan kapten MV GSL Grania mendapati kemalangan itu berpunca daripada MV Zephyr I hilang kawalan dan merempuh bahagian tepi kapal.
Katanya, perlanggaran itu mengakibatkan bahagian kanan MV GSL Grania mengalami kerosakan.
“MV GSL Grania membawa kontena dalam perjalanan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri, manakala MV Zephyr I membawa bitumen campuran dan dalam perjalanan ke China,” katanya.