Bekas menteri persekutuan Maszlee Malik dijangka dilantik menganggotai jawatankuasa kepimpinan negeri PKR Johor, ketika parti itu memperkukuh bahagian selatannya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata beberapa sumber.
Difahamkan ahli parlimen Simpang Renggam itu akan dinamakan sebagai salah seorang daripada tiga naib ketua negeri bagi melengkapkan barisan jawatankuasa pimpinan PKR Johor.
Sumber PKR, yang rapat dengan kepimpinan parti itu, mengesahkan kepada Malay Mail bahawa Maszlee akan dinamakan sebagai naib ketua I.
Sumber itu juga berkata Maszlee akan disertai bekas ADUN Jimmy Puah Wee Tse sebagai naib ketua II manakala S. Gopalakrishnan sebagai naib ketua III.
“Naib ketua negeri yang bakal dilantik tidak lama lagi mempunyai banyak pengalaman dalam memahami iklim politik Johor yang kompleks, dengan Puah telah menjadi timbalan ketua negeri selama beberapa tahun.
“Mereka akan disertai bekas ketua PKR Johor dan ahli parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, yang akan dilantik sebagai timbalan ketua negeri.
“Mereka yang dinamakan dalam jawatankuasa itu akan membantu Ketua PKR Johor yang baru dilantik Rafizi Ramli, yang juga timbalan presiden parti, dalam perancangan dan persediaan menghadapi PRU15,” kata sumber itu kepada Malay Mail hari ini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Difahamkan, pelantikan baharu negeri itu disahkan Rafizi semalam semasa mesyuarat pimpinan PKR Johor di Batu Pahat.
Pelantikannya baru-baru ini pada 3 Ogos oleh pucuk pimpinan PKR untuk menerajui Johor adalah keputusan strategik untuk menugaskan beliau menyelaras kempen pilihan raya di negeri itu.
Rafizi, yang juga pengarah pilihan raya PKR, telah menjelaskan kepada semua ahli parti bahawa Johor akan menjadi negeri barisan hadapan yang penting untuk PRU15.
Satu lagi sumber parti berkata pelantikan lain bagi pemegang jawatan negeri ialah bekas ADUN Md Ysahrudin Kusni sebagai setiausaha PKR Johor dan Subramani Chami sebagai bendaharinya.
“Melengkapkan senarai itu ialah ahli berpengalaman Naim Jusri yang akan dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) PKR Johor, Hasni Abas sebagai setiausaha pengurusannya dan Khairuddin A. Rahim sebagai ketua penerangan,” katanya.
Sumber itu berkata, kesemua pelantikan itu juga merupakan ketua bahagian PKR di kawasan masing-masing dengan beberapa daripadanya adalah wakil rakyat semasa atau bekas.
“Barisan baharu PKR Johor menekankan pemimpin yang mempunyai motivasi kuat untuk agenda reformasi serta aktivisme,” kata sumber itu.
Sembilan pelantikan baharu PKR Johor dijangka diumumkan tidak lama lagi.