Cadangan PAS menggunakan logo sendiri di Terengganu, Kelantan dan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi Perikatan Nasional (PN), kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata PAS akan membawa perkara itu ke mesyuarat akan datang.
“Penggunaan logo itu belum dimuktamadkan kerana ada negeri yang meminta untuk menggunakan logo PAS, jadi kita akan bawa dalam perbincangan akan datang.
“Tujuan kami tidak mengelirukan pengundi dengan warna biru,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Pemuda PAS (DPPM) ke-63 sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68 di sini.
Sebelum ini pada muktamar PN, wakil dari Terengganu dan Kedah mencadangkan lambang PAS boleh digunakan di negeri masing-masing pada PRU15.
Wakil rakyat itu berkata perkara itu perlu dipertimbangkan memandangkan senario politik di pantai timur berbeza berbanding di peringkat persekutuan.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata ia bergantung kepada keputusan mesyuarat yang akan diadakan nanti.