Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah memanggil hampir 9,152 calon untuk temuduga bagi urusan pelantikan tetap dalam mengisi lebih kurang 4,914 kekosongan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD43, Pegawai Pergigian Gred UG41 dan Pegawai Farmasi Gred UF41 bagi tahun 2023. Temuduga tersebut diadakan pada tarikh antara 1 Mac hingga 22 Mac yang lalu.
Dalam proses pelantikan tersebut, sejumlah 4,263 kekosongan jawatan untuk Pegawai Perubatan Gred UD43, 335 jawatan untuk Pegawai Pergigian Gred UG41 dan 316 jawatan untuk Pegawai Farmasi Gred UF41 perlu diisi.
Calon perlu memenuhi syarat
Senarai nama calon yang hadir temuduga tersebut dipanjangkan oleh SPA kepada kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 31 Mac 2023 untuk semakan yuang lebih rinci ketika temu duga bagi memastikan bahawa semua calon yang dilantik memenuhi kualifikasi dan syarat khusus yang ditetapkan oleh KKM. Syarat-syarat tersebut termasuklah calon perlu dilantik secara kontrak (Contract of Service) di KKM berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016, telah menamatkan latihan siswazah di dalam atau di luar negara dan merupakan lantikan kontrak mulai 2016 hingga 2020 sahaja.
Baca lagi | Pusat Astronomi Antarabangsa jangka 1 Syawal jatuh pada 21 April
Syarat lain yang perlu dipenuhi ialah calon tidak pernah meletak jawatan, tidak pernah ditamatkan perkhidmatan dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh kontrak. Calon juga tidak pernah menolak tawaran pelantikan tetap.
Calon yang tidak berjaya jadi calon simpanan
Menurut SPA, sejumlah 4,914 calon yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan akan dilantik secara tetap untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut pada tahun 2023. Adapun bagi calon yang tidak berjaya pada sesi pengambilan ini tetapi memenuhi kualifikasi dan syarat khusus KKM akan dijadikan calon simpanan. Calon-calon ini akan dipanggil pada masa akan datang untuk menempatkan kekosongan-kekosongan jawatan tetap pada masa akan datang.
Baca lagi | Saman Anwar: Mahkamah Batal Rayuan Yusoff Rawther
Keputusan temuduga akan diumumkan pada 17 April 2023 melalui portal rasmi, Facebook SPA serta akan dihantar ke e-mel calon yang berjaya. Pasa 2 Mei 2023 pula, surat tawaran pelantikan tetap akan dikeluarkan melalui Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP). Selain itu, sistem KKM memberikan tempoh selama 14 hari untuk menyatakan persetujuan, sama ada menerima atau menolak tawaran dan perlu melengkapkan semua dokumen dalam tempoh tersebut.