The Malaysia Post

10 Universiti Awam Terbaik di Malaysia untuk 2025 Mengikut QS World University Rankings

Nak masuk universiti awam yang top di Malaysia? Ikuti perkongsian kami kali ini untuk mengetahui senarai 10 universiti terbaik untuk tahun 2025 berdasarkan QS World University Rankings. Bukan saja kedudukan global yang power, tapi setiap universiti ni ada keunikan dan syarat kemasukan yang korang kena tahu. Jom lihat!

Senarai Universiti Awam Terbaik Malaysia 2025 Berdasarkan QS Rankings

#1. Universiti Malaya (UM)

Yang pertama patut korang pilih, of course Universiti Malaya (UM) dan sebagai universiti paling lama dan paling gah di Malaysia, UM duduk cantik di kedudukan ke-60 dunia. Terletak betul-betul di tengah Kuala Lumpur, UM bukan saja terkenal dengan akademik, tapi juga suasana kampus yang happening. Untuk masuk ke UM, korang perlukan sekurang-kurangnya 5 kepujian dalam SPM termasuk Bahasa Melayu dan Matematik. Kalau ambil STPM, PNGK minimum yang diperlukan ialah 2.00 dengan sekurang-kurangnya gred C dalam tiga subjek. Matrikulasi atau asasi pun sama, perlu PNGK 2.00 ke atas. Tapi kalau nak mohon kursus hot macam Perubatan atau Undang-undang, korang kena target PNGK lebih tinggi dan pastikan subjek tertentu lulus cemerlang.

#2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Universiti awam terbaik yang kedua adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terletak di Bangi, Selangor. UKM ni memang terkenal dengan kekuatan penyelidikan dan terletak di tangga ke-138 dunia. Nak masuk UKM, korang kena ada minimum 5 kredit dalam SPM termasuk Bahasa Melayu. Untuk STPM dan matrikulasi/asasi, sama juga – PNGK minimum 2.00 dengan gred C dalam tiga mata pelajaran.

#3. Universiti Sains Malaysia (USM)

Gerak ke utara sikit, jom pakat-pakat pilih Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang yang kini berada di kedudukan ke-146 dunia dan satu-satunya universiti APEX di Malaysia. Fokus utama dia adalah dalam bidang sains dan penyelidikan. Dari segi syarat kemasukan, korang perlukan 5 kredit dalam SPM termasuk Bahasa Melayu, dan untuk STPM serta matrikulasi atau asasi, PNGK kena sekurang-kurangnya 2.00. Nak masuk program sains, lagi baik kalau ada asas dalam Kimia, Biologi atau Fizik.

#4. Universiti Putra Malaysia (UPM)

Universiti Putra Malaysia (UPM) yang asalnya adalah kolej pertanian tapi sekarang ni dah ada macam-macam program hebat boleh anda pilih termasuklah bidang kejuruteraan dan perubatan. UPM duduk di tempat ke-148 dunia dan kampus dia terletak di Serdang, Selangor. Syarat am dia sama – minimum 5 kredit SPM termasuk BM, PNGK 2.00 untuk STPM dan matrikulasi. Tapi untuk program sains dan kejuruteraan, korang mungkin perlukan kredit subjek macam Biologi, Kimia, atau Fizik.

#5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Kalau korang minat dengan bidang teknologi dan juga kejuruteraan, boleh la pilih Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Universiti ini patut masuk dalam senarai pilihan korang dan menariknya universiti ini kini berada di kedudukan ke-181 dunia. Kalau nak tahu, UTM ada dua kampus tau, satu di Johor Bahru dan satu lagi di Kuala Lumpur. Universiti ni memang dikenali dengan inovasi. Nak masuk? Kena ada 5 kepujian SPM termasuk BM dan Matematik, serta PNGK minimum 2.00 untuk STPM dan matrikulasi. Kalau mohon program kejuruteraan, biasanya korang perlu kredit Fizik dan Matematik.

#6. Universiti Utara Malaysia (UUM)

Jom buat pilihan ke utara Kedah pula,dengan memilih Universiti Utara Malaysia (UUM). Terletak di Sintok, UUM sangat terkenal dengan program pengurusan dan perniagaan. Walaupun berada di kedudukan ke-554 dunia, UUM tetap pilihan terbaik bagi mereka yang nak ceburi dunia korporat. Syarat masuk pun tak rumit – 5 kredit SPM termasuk BM, dan PNGK 2.00 untuk STPM atau matrikulasi.

#7. Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Kalau nak pengalaman belajar di banyak lokasi, boleh pertimbangkan Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang merupakan universiti paling besar di Malaysia dari segi jumlah pelajar dan kampus. Tahun ni, UiTM berada di tangga ke-587 dunia. Untuk masuk, korang kena ada 5 kredit SPM termasuk BM, PNGK 2.00 untuk STPM dan matrikulasi. Tapi ingat ya, UiTM khas untuk pelajar Bumiputera sahaja.

#8. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Bagi korang yang minat pendekatan Islamik dan antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah pilihan tepat. UIAM bukan saja ada program dalam bahasa Inggeris, tapi juga kuat dalam bidang pengajian Islam. Kampus utama terletak di Gombak. Syarat umum dia – minimum 5 kepujian SPM termasuk BM dan BI, dan PNGK 2.00 untuk STPM atau matrikulasi. Untuk program pengajian Islam, penguasaan Bahasa Arab mungkin diperlukan.

#9. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Tak ketinggalan, kita ada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang makin menyerlah setiap tahun. UMPSA fokus pada bidang kejuruteraan dan teknologi, dan tahun ini berjaya memperbaiki ranking globalnya. Terletak di Pahang, universiti ni perlukan minimum 5 kepujian SPM termasuk BM dan Matematik. Untuk STPM, kena ada PNGK 2.00 dan gred C dalam subjek seperti Matematik T, Kimia, Fizik atau Biologi. Sama juga dengan matrikulasi/asasi – PNGK 2.00 dengan kelulusan subjek berkaitan.

#10. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Akhir sekali, kita ada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkenal sebagai pusat latihan guru terbaik di negara ini. Terletak di Tanjung Malim, UPSI fokus kepada bidang pendidikan dan latihan perguruan. Syarat masuknya agak standard – SPM lulus dengan kepujian dalam BM, PNGK 2.00 dalam STPM atau matrikulasi. Tapi kalau nak masuk kursus popular macam TESL, kena ada PNGK minimum 3.00, gred A dalam Bahasa Inggeris SPM dan minimum Band 4.0 dalam MUET.

Baca juga:

Buat Pilihan Bijak dengan Top 10 Universiti Awam Terbaik di Malaysia Tahun 2025  Ini

Kalau anda sedang berfikir-fikir nak mohon universiti mana selepas tamat sekolah atau nak sambung ijazah sarjana, boleh pilih list di atas. Malaysia bukan sahaja kaya dengan budaya dan makanan yang sedap, tetapi juga terkenal dengan institusi pengajian tinggi yang mantap dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Universiti awam Malaysia telah lama jadi tulang belakang kecemerlangan akademik, bukan sahaja di negara kita, tapi juga di mata dunia. Kalau dulu-dulu nak belajar ke luar negara je cita-cita utama, tapi bezanya sekarang ramai mula buka mata dan lebih selesa pilih untuk kekal di tanah air sebab kualiti pengajian kita pun dah setanding luar negara dengan kos yang lebih berpatutan, of course!

Apa pun, pastikan korang semak semula syarat-syarat khas bagi setiap program sebab sesetengah kursus ada keperluan tambahan. Selamat buat pilihan dan semoga berjaya ke universiti impian korang!

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Ojen Aiwah Kena Tipu RM246,611

Read Next

David Beckham Kecam Isyarat Lucah Diallo dan tindakan biadab Garnacho di Malaysia

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *