Ketegangan perdagangan global semakin memuncak apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memperkukuh pendekatan unilateral dengan menghantar surat rasmi kepada sekurang-kurangnya 14 negara Asia, termasuk Malaysia, untuk memperingatkan tentang penguatkuasaan tarif import baharu bermula 1 Ogos 2025.
Surat yang dihantar Presiden AS itu menggariskan tarif antara 25 hingga 40 peratus terhadap eksport ke AS, bergantung kepada negara, dengan Malaysia dikenakan kadar tarif sebanyak 25%, berbanding kadar 24% yang diumumkan sebelum ini. Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Laos dan Myanmar turut terjejas, sekali gus menandakan gelombang tekanan ekonomi baharu terhadap sektor eksport serantau.
Kesan Langsung Perang Tarif Trump kepada Malaysia: Elektronik dan Komoditi Jadi Fokus
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia dalam kenyataannya menegaskan komitmen Malaysia terhadap rundingan yang konstruktif bagi mengelakkan implikasi tarif tersebut, terutamanya terhadap industri utama seperti elektronik, automotif, keluli dan produk kimia.
“Dialog terbuka kekal sebagai pendekatan terbaik untuk mencapai keseimbangan antara akses pasaran dan kepentingan nasional. Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan rakan dagang strategik,” jelas kenyataan rasmi MITI.
Penganalisis menjangkakan tarif tersebut akan memberi tekanan kepada rantaian bekalan eksport Malaysia, yang mana pada masa sekarang, ia sangat sangat bergantung pada pasaran global, khususnya Amerika Syarikat sebagai antara tiga destinasi eksport terbesar negara.
Tarif Sektoral dan Risiko Ekonomi Serantau
Antara langkah tarif yang diumumkan termasuklah:
- 25% tarif ke atas kenderaan dan alat ganti automotif
- 50% tarif ke atas produk keluli dan aluminium
- Kenaikan tidak ditentukan terhadap barangan trans-penghantaran
Tindakan ini disifatkan oleh pakar seperti William Alan Reinsch, dari Center for Strategic and International Studies (CSIS), sebagai “taktik tekanan” bagi memaksa konsesi dari negara-negara Asia yang belum mencapai persetujuan perdagangan dengan AS.
“Langkah ini mencerminkan strategi lama beri ancaman keras, lanjutkan tarikh akhir, dan berharap akan tercapai perjanjian. Tetapi risiko terhadap kestabilan ekonomi serantau semakin ketara,” ujar Reinsch.
Risiko Makroekonomi: Inflasi, Pengangguran dan Ketidakpastian Pasaran Bermula Ogos Ini
Ekonomi Malaysia dijangka terkesan bukan hanya melalui perdagangan langsung, tetapi juga dari segi sentimen pelabur dan keyakinan pasaran. Menurut laporan HSBC pada 25 Jun, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75% bagi mengimbangi potensi kelembapan permintaan domestik yang berpunca daripada ketidaktentuan global.
Sementara itu, sektor perkilangan dan pembuatan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dijangka menanggung beban kos operasi yang meningkat serta kemungkinan kehilangan pasaran eksport utama.
Reaksi Asia: Dari Rundingan ke Penstrukturan Pasaran
Beberapa negara seperti Thailand, Indonesia dan Jepun telah menyatakan hasrat untuk meneruskan rundingan dengan Washington. Korea Selatan dijangka menghantar delegasi tinggi ke AS minggu ini, manakala Malaysia mengambil pendekatan diplomasi dua hala melalui saluran ASEAN dan pertemuan rasmi di Kuala Lumpur bersama Setiausaha Negara AS.
“Malaysia perlu menilai semula kebergantungan kepada pasaran tradisional dan mula meneroka pasaran baharu termasuk Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan sebagai langkah mitigasi jangka panjang,” kata Prof. Dr. Anuar Yahya, pakar ekonomi antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Baca juga:
Keputusan Politik yang Mengubah Landskap Perdagangan Global
Tarif baharu ini bukan sahaja memberi kesan terhadap perdagangan, tetapi juga mencerminkan pergeseran dasar luar AS yang semakin proteksionis. Negara-negara yang terkesan harus menilai semula strategi perdagangan mereka dan mempercepatkan integrasi rantau melalui platform seperti RCEP dan ASEAN Free Trade Area (AFTA).
Buat masa ini, semua mata tertumpu kepada tarikh 1 Ogos 2025 – sama ada ia akan menjadi permulaan kepada gelombang tarif baharu, atau kejayaan diplomasi Asia dalam meredakan ketegangan perdagangan.