The Malaysia Post

Vokalis Punk Dibelasah Beramai-Ramai Kerana Tak Cium Tangan Otai

JOHOR BAHRU, 12 Mei 2025 – Seorang vokalis kumpulan punk dipercayai telah dipukul dan dikeroyok secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki selepas tamatnya sebuah konsert di Johor Bahru, didakwa hanya kerana beliau tidak mencium tangan individu yang lebih tua, yang dikenali sebagai ‘otai’ dalam komuniti muzik tersebut.

Insiden yang kini tular di media sosial itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan komuniti muzik bawah tanah, terutamanya selepas beberapa klip video menunjukkan aksi keganasan terhadap mangsa dimuat naik ke Facebook dan platform lain. Dalam video tersebut, mangsa dilihat dipukul secara ganas, termasuk dihentak dengan objek dipercayai tong besi.

Vokalis Punk Dipukul Akibat “Tak Salam Cium Tangan” Otai Skinhead di Johor Bahru

Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh kumpulan Armpunk Syndicate, vokalis mereka yang dikenali sebagai Zed telah menjadi mangsa serangan tanpa provokasi yang munasabah.

“Kami menyaksikan sendiri tindakan tidak berperikemanusiaan daripada sekumpulan lelaki yang menyerang Zed secara beramai-ramai. Ini bukan sekadar kekasaran biasa, tetapi satu cubaan mencederakan dengan niat yang serius, termasuk penggunaan senjata,” ujar wakil kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.

Tambah mereka lagi, punca serangan itu didakwa hanya kerana Zed tidak menyalami atau mencium tangan beberapa otai selepas keluar dari tandas di lokasi konsert. Kejadian tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat muzik punk dan skinhead yang rata-rata menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan dan tidak berasas.

Baca juga:

Vokalis Punk Didakwa Disimbah Air Kencing Dalam Tin Bir

Lebih menjijikkan, wakil kumpulan itu turut mendakwa bahawa semasa mereka membuat persembahan, seorang individu telah menyimbah air bir ke arah pentas yang dipercayai telah dicampur dengan air kencing.

“Air itu berbau sangat busuk. Kami percaya ia bukan air bir biasa, sebaliknya sudah dicampur dengan air kencing. Ini satu penghinaan dan cubaan memperlekehkan kumpulan kami secara terang-terangan,” katanya lagi.

Reaksi Netizen dan Kritikan Terhadap Budaya Dalam Komuniti Muzik Punk atau Skinhead

Pelbagai reaksi telah diberikan oleh pengguna media sosial yang rata-ratanya terkejut dengan punca pergaduhan tersebut. Ada yang menyindir tindakan keterlaluan itu dengan menyatakan bahawa konsert punk atau skinhead bukanlah satu majlis rasmi keagamaan yang memerlukan adat seperti mencium tangan.

“Saya keliru ini konsert muzik ke kenduri kahwin?” kata seorang pengguna di Facebook.

Sebahagian lagi menyuarakan kebimbangan terhadap budaya ‘otai’ yang didakwa semakin melampau dan bertindak sebagai pembuli dalam komuniti muzik bebas.

Polis Sahkan Sedang Siasat Video Pergaduhan Vokalis Punk 

Asisten Komisioner Raub Selamat yang merupakan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, mengeluarkan kenyataan bahawa pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden video pergaduhan vokalis punk tersebut yang kini mula tular di media sosial.

“Siasatan telah dijalankan sebaik sahaja kami dimaklumkan mengenai klip video tersebut. Namun, tiada sebarang laporan rasmi diterima setakat ini daripada mana-mana individu, termasuk mangsa atau saksi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menggesa agar mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

Kes pergaduhan vokalis punk di konsert Johor Bahru ini mula disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana terdapat unsur merusuh dengan senjata berbahaya serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas sebab penyebaran kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Kelab Liga Malaysia Perlu Segera Berubah Seiring Inisiatif Penswastaan MFL

Read Next

Wabak HFMD Naik 266 Peratus, Selangor Catat Kes Tertinggi di Malaysia

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *