SEOUL, 23 Disember 2024 – Polis Korea Selatan sedang mengintensifkan siasatan terhadap pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal dilakukan pada 3 Disember lalu dengan memfokuskan kepada rekod telefon peribadi Presiden Yoon Suk Yeol. Pasukan penyiasat khas telah mendapatkan rekod perbualan telefon tersebut melalui waran, menurut laporan agensi berita Yonhap.
Polis Fokus Pada Rekod Telefon Presiden Yoon Suk Yeol dan Dokumen Penting
Ketua penyiasatan, bersama pasukan khas, juga sedang berusaha mendapatkan akses kepada “telefon selamat” yang digunakan oleh Presiden Suk Yeol serta rekod berkaitan daripada Perkhidmatan Keselamatan Presiden. Langkah ini bertujuan untuk mengesahkan dakwaan penglibatan beberapa individu dalam pelaksanaan undang-undang tentera.
Dalam perkembangan berkaitan, dokumen yang diserahkan oleh Presiden kepada Menteri Kewangan Choi Sang-mok semasa mesyuarat Kabinet pada tarikh yang sama turut disiasat. Dokumen itu mengandungi langkah mencadangkan pemotongan perbelanjaan operasi Parlimen dan pembentukan bajet khas di bawah undang-undang tentera.
Baca lagi | Larangan Perjalanan Dikeluarkan Terhadap Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol
Kenyataan Menteri Kewangan Korea Selatan
Pada 13 Disember, Menteri Choi Sang-mok menjelaskan kepada Parlimen bahawa dokumen berkenaan bertujuan mendapatkan dana fiskal segera. Menurutnya, ia adalah langkah kecemasan untuk memastikan kestabilan kewangan negara di bawah situasi undang-undang tentera.
Walau bagaimanapun, pihak polis menemui beberapa masalah prosedur dan substantif dalam perhimpunan itu. Ketiadaan minit mesyuarat serta dokumen rasmi yang membuktikan perbincangan tersebut berlaku menjadi isu utama dalam siasatan.
Baca lagi | Presiden Korea Selatan Tarik Balik Undang-Undang Tentera Selepas Ditolak Parlimen
10 Daripada 12 Individu Telah Disoal Siasat Polis Korea Kelantan
Setakat ini, 10 daripada 12 individu yang menghadiri mesyuarat Kabinet pada 3 Disember telah disoal siasat, termasuk Menteri Penyatuan, Kim Yung-ho, yang tampil memberi keterangan pada Sabtu lalu. Namun, Presiden Yoon Suk Yeol dan bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun masih belum dipanggil untuk memberi kenyataan rasmi.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka akan terus menyiasat semua pihak yang terlibat untuk memastikan keadilan ditegakkan.