KUALA LUMPUR – Ramai beranggapan bahawa tindakan Pas meminta ahlinya turun berhimpun di Istana Kehakiman pada 6 Januari 2025 adalah untuk meraih manfaat politik.
Namun, bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, terpulang kepada Pas jika mereka mahu menggunakan pendekatan tersebut, kerana baginya pihak yang menyebabkan titah adendum berlarutan selama satu tahun lebih giat bermain politik.
Himpunan Solidariti Najib Razak: UMNO Tidak Kisah Pendekatan Pas
Menurut Puad, UMNO tidak mengambil peduli apabila Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, meminta ahli PKR supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut.
Tambahnya, UMNO telah merancang perhimpunan tersebut lebih awal sebelum Pas mengeluarkan surat berkenaan. Dijangka lebih 15,000 ahli UMNO akan hadir, semuanya berbaju merah sebagai tanda solidariti.
Baca lagi | Strategi Politik PAS di Sebalik Perhimpunan Solidariti untuk Najib 6 Januari Ini
Himpunan Solidariti Najib Razak: Aura Najib Masih Relevan – Puad Zarkashi
Puad juga menyatakan bahawa jika Pas mampu mengumpulkan seramai 10,000 orang untuk perhimpunan ini, ia membuktikan aura Datuk Seri Najib Razak masih kuat dalam kalangan ahli parti mereka.
Tambahnya lagi, sekiranya himpunan solidariti itu nanti turut dihadiri oleh ahli PKR, DAP, dan Bersatu, itu sudah cukup menggemparkan politik negara.
Baca lagi | Bersatu Akan Kalah Teruk di PRN Sabah – Puad Zarkashi
Himpunan Solidariti Najib Razak Aman dan Tertib
Mengulas lanjut, Puad menegaskan bahawa perhimpunan UMNO akan berlangsung secara aman dan mematuhi peraturan yang telah dibincangkan bersama pihak berkuasa.
Ujar beliau, pihak-pihak terbabit tidak perlu risau kerana semasa himpunan itu nanti tidak akan ada pokok bunga DBKL akan rosak, tercabut, atau kenderaan polis diterbalikkan seperti ketika BERSIH berhimpun dulu.
Menurutnya lagi, populariti Najib masih menjadi faktor yang digeruni oleh pihak lawan. Ada pihak yang ikhlas hadir menyatakan sokongan, namun tidak dinafikan ada juga yang cuba mempolitikkan titah adendum mengikut agenda masing-masing.
Himpunan Solidariti untuk Najib Razak di Istana Kehakiman
Perhimpunan ini dijangka menjadi tumpuan utama politik tempatan, terutamanya dalam mengukur sokongan terhadap bekas Perdana Menteri tersebut. Kehadiran ribuan ahli UMNO dan mungkin penyokong daripada parti lain turut menjadi petunjuk kepada kekuatan Najib dalam arena politik negara.