KUALA LUMPUR: UMNO akan membincangkan pendirian parti mengenai usul persendirian yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen, Mac depan bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perincian mengenai usul yang bakal dibentangkan PAS itu sudah dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sehubungan itu, katanya, ia akan diperhalusi kepemimpinan tertinggi UMNO sebelum sebarang pendirian rasmi dikemukakan kepada umum.
“Ada dibentangkan PAS tadi. Kita pun nak tahu apa bendanya. UMNO ambil maklum, dan kita akan bincang juga di peringkat parti, kita akan buat keputusan bila sampai masanya.
“Tak timbul pasal sokong tak sokong, kita ambil maklum, usul belum dibawa lagi, sebarang keputusan akan dibuat bila benda itu berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato’ Onn selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional, di sini, malam tadi.
Selain Tuan Ibrahim, hadir sama pada mesyuarat itu, Setiusaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Ketua Penerangan Pas, Kamarulzaman Ahmad dan Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Tuan Ibrahim, pada Sabtu lalu dilaporkan berkata, usul menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad itu perlu dalam menangani kemelut peralihan kuasa ketika ini yang dikatakan berupaya ‘mengganggu kestabilan politik dan ekonomi’.
Hasrat mengemukakan usul persendirian mewakili blok pembangkang itu bagaimanapun mendapat kritikan, selain dipersoalkan pelbagai pihak yang menyifatkan ia hanya sebagai cakap politik.
Ditanya sama ada mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam turut membincangkan soal ‘Pakatan Nasional’, Mohamad berkata, ia tidak dibangkitkan.
“Tidak tahu pula saya. Kita tidak pernah bincang pasal Pakatan Nasional. Kita pasal muafakat nasional saja,” katanya.
Mohamad berkata, rapat umum untuk membincangkan hala tuju muafakat nasional dan mempersiapkan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Susulan ketidaktentuan suhu politik negara, beliau berkata, PRU-15 berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tanpa kerajaan sedia ada menghabiskan penggal penuh selama lima tahun pemerintahannya.
“Kita mahu bersedia dari sekarang sebab bila-bila pun PRU-15 boleh jadi,” katanya.