Selama ini, Hong Kong mungkin lebih dikenali sebagai syurga membeli-belah, lokasi filem terkenal dan bandar yang dipenuhi bangunan pencakar langit. Tapi tahukah anda, destinasi ini sebenarnya semakin mesra untuk pelancong Muslim?
Kalau dulu ramai yang risau nak cari makanan halal atau tempat solat ketika bercuti di Hong Kong, sekarang keadaannya semakin mudah. Ada taman tema yang menyediakan surau, restoran dengan sijil halal, masjid yang menawarkan dim sum halal, malah hotel lima bintang yang turut menyediakan kemudahan khas untuk tetamu Muslim.
Jadi, kalau anda sedang merancang percutian ke Hong Kong bersama keluarga, pasangan atau kawan-kawan, jangan terus anggap destinasi ini susah untuk diterokai. Sebenarnya, ada banyak tempat menarik di Hong Kong yang boleh anda kunjungi tanpa perlu terlalu risau tentang keperluan harian sebagai Muslim.
Menerusi pengalaman Muslim Media FAM Trip bersama Hong Kong Tourism Board (HKTB), terdapat enam lokasi yang cukup menarik untuk dimasukkan dalam itinerari. Bukan sekadar tempat untuk bergambar dan bersiar-siar, malah ada juga yang menawarkan pengalaman makan halal serta kemudahan solat.
Jom tengok enam lokasi ini. Mana tahu, selepas baca senarai ini, Hong Kong terus masuk dalam senarai destinasi percutian anda yang seterusnya!
1. Hong Kong Museum of History – Kenali Sejarah Hong Kong Secara Percuma
Lokasi: Tsim Sha Tsui
Kalau anda suka mengenali sejarah sesebuah tempat, Hong Kong Museum of History memang patut masuk dalam senarai tempat menarik Di Hong Kong yang perlu dikunjungi.
Muzium ini membawa pengunjung menyusuri sejarah Hong Kong sejak zaman prasejarah sehingga berkembang menjadi sebuah bandar moden seperti yang kita kenal hari ini. Antara tarikan utamanya ialah galeri The Hong Kong Story yang memaparkan perjalanan sejarah kawasan ini sejak lebih 400 juta tahun lalu.
Apa yang menarik, anda bukan sekadar melihat barisan bahan pameran di dalam kaca. Ada pelbagai replika yang dibina dengan cukup menarik, termasuk suasana jalan lama Hong Kong, kedai ubat tradisional Cina, kedai runcit klasik dan kehidupan masyarakat pada zaman dahulu.
Bagi yang suka mengambil gambar, bahagian replika ini memang menarik untuk diterokai kerana suasananya seolah-olah membawa anda kembali ke Hong Kong pada zaman dahulu.
Paling best, kemasukan ke muzium ini adalah percuma. Jadi, anda boleh menikmati pengalaman belajar sejarah tanpa perlu keluarkan duit untuk tiket masuk.
Lokasinya juga berhampiran beberapa restoran halal dan masjid. Memang memudahkan pelancong Muslim yang mahu makan atau menunaikan solat selepas selesai melawat muzium.
Cuma, satu perkara yang perlu anda ingat ialah muzium ini ditutup setiap hari Selasa. Jadi, semak jadual lawatan sebelum datang supaya perjalanan anda tak terganggu.
2. Ocean Park Hong Kong – Taman Tema Mesra Muslim Untuk Seisi Keluarga
Lokasi: Wong Chuk Hang
Kalau bercuti bersama anak-anak, Ocean Park Hong Kong antara tempat menarik di Hong Kong yang boleh buat satu hari anda dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.
Taman tema ini bukan sekadar menawarkan permainan yang mengujakan. Anda juga boleh melihat pelbagai haiwan menarik seperti panda gergasi dan penguin, meneroka akuarium besar serta mencuba roller coaster yang mencabar keberanian.
Nak menikmati pemandangan laut dari tempat tinggi? Anda boleh menaiki cable car sambil melihat panorama kawasan sekitar. Memang cantik, lebih-lebih lagi kalau cuaca cerah.
Namun, perkara yang paling melegakan buat pelancong Muslim ialah kemudahan mesra Muslim yang disediakan di dalam taman tema ini.
Ocean Park mempunyai beberapa restoran yang menawarkan makanan halal. Hidangan disediakan menggunakan dapur khas tanpa bahan tidak halal atau alkohol, jadi pengunjung Muslim mempunyai pilihan untuk menikmati makanan dengan lebih yakin.
Antara restoran yang boleh anda singgah ialah The Bayview Restaurant. Restoran ini menawarkan hidangan halal yang diperakui dan turut menyajikan pemandangan laut yang cantik.
Selain makanan, kemudahan solat juga disediakan di kawasan Aqua City dan Thrill Mountain. Ruang solat ini dilengkapi tempat mengambil wuduk, penunjuk arah kiblat serta ruang berasingan untuk lelaki dan wanita.
Jadi, anda tak perlu tinggalkan taman tema semata-mata untuk mencari tempat solat di luar kawasan. Boleh teruskan aktiviti bersama keluarga dengan lebih tenang.
Sebab itulah Ocean Park sesuai untuk dimasukkan dalam senarai tempat menarik di Hong Kong, terutama bagi keluarga Muslim yang mahu menikmati taman tema tanpa mengabaikan keperluan ibadah.
3. Masjid Ammar & Osman Ramju Sadick Islamic Centre – Nikmati Dim Sum Halal Di Hong Kong
Lokasi: Wan Chai
Bercuti ke Hong Kong tetapi tak singgah di masjidnya memang rugi. Salah satu lokasi yang boleh anda kunjungi ialah Masjid Ammar & Osman Ramju Sadick Islamic Centre di Wan Chai.
Masjid ini menjadi antara tempat persinggahan penting buat masyarakat Islam dan pelancong Muslim. Selain menunaikan solat, anda juga boleh berehat seketika sebelum menyambung perjalanan meneroka bandar.
Tetapi, ada satu lagi sebab yang membuatkan lokasi ini cukup istimewa. Di tingkat lima bangunan masjid ini terdapat Islamic Centre Canteen, restoran yang terkenal dengan hidangan dim sum halal.
Menariknya, restoran ini dikenali sebagai restoran dim sum halal pertama di Hong Kong sejak tahun 2005.
Antara menu yang boleh dicuba termasuk siu mai ayam dan har gow. Kalau anda suka hidangan berasaskan ayam, terdapat juga pilihan seperti ayam goreng rangup gaya Cina, ayam kukus kicap bersama daun bawang dan ayam kukus sos halia.
Bayangkan dapat menikmati dim sum panas-panas ketika bercuti di Hong Kong. Memang satu pengalaman yang menarik, lebih-lebih lagi bagi penggemar makanan Cina.
Cuma, kalau anda memang bercadang nak mencuba dim sum di sini, datanglah antara jam 10 pagi hingga 3 petang kerana hidangan tersebut disediakan dalam tempoh berkenaan.
Jangan lupa masukkan masjid ini dalam senarai tempat menarik di Hong Kong anda. Selain dapat menunaikan solat, anda juga berpeluang menikmati makanan halal yang cukup istimewa.
4. Bauhinia Cruise – Makan Malam Bufet Halal Sambil Menonton Symphony Of Lights
Lokasi: Victoria Harbour
Kalau anda mahukan pengalaman yang sedikit berbeza, apa kata luangkan satu malam untuk menaiki Bauhinia Cruise?
Pelayaran ini antara tempat menarik di Hong Kong yang sesuai untuk pasangan dan keluarga yang mahu menikmati keindahan bandar dari sudut berbeza.
Sepanjang pelayaran sekitar satu setengah hingga dua jam, anda akan dibawa menyusuri Victoria Harbour sambil menikmati pemandangan bangunan pencakar langit yang diterangi cahaya pada waktu malam.
Suasananya memang berbeza berbanding berjalan kaki di tengah bandar. Anda boleh duduk santai, menikmati hidangan dan melihat panorama Hong Kong dari atas laut.
Lebih menarik, anda juga berpeluang menyaksikan pertunjukan Symphony of Lights yang berlangsung setiap malam pada jam 8.00 malam.
Pertunjukan cahaya ini melibatkan bangunan-bangunan di sekitar Victoria Harbour yang dihiasi pancaran lampu dan kesan visual. Memang satu pemandangan yang cantik untuk dinikmati bersama orang tersayang.
Apa yang membuatkan pengalaman ini lebih sesuai untuk pelancong Muslim ialah Bauhinia Cruise turut menyediakan bufet halal yang diperakui sejak tahun 2013.
Jadi, sambil menikmati pemandangan malam Hong Kong, anda boleh menjamu selera dengan hidangan halal. Pelayaran ini turut menawarkan persembahan muzik secara langsung untuk menambahkan lagi suasana sepanjang perjalanan.
Kalau anda bercuti bersama pasangan, pengalaman makan malam di atas kapal sambil melihat cahaya bandar pastinya menjadi antara kenangan manis sepanjang percutian.
5. InterContinental Grand Stanford Hong Kong – Hotel Lima Bintang Mesra Muslim
Lokasi: Tsim Sha Tsui East
Bagi yang mahukan penginapan lebih selesa, InterContinental Grand Stanford Hong Kong boleh dipertimbangkan. Hotel lima bintang ini terletak berhampiran Victoria Harbour di kawasan Tsim Sha Tsui East.
Selain menawarkan suasana penginapan premium dan pemandangan yang menarik, hotel ini turut mendapat pengiktirafan CrescentRating 5 sebagai hotel mesra Muslim.
Ini menjadikannya antara tempat menarik Di Hong Kong untuk pelancong yang mahu menikmati percutian dengan kemudahan penginapan yang mengambil kira keperluan Muslim.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk sarapan halal di Café on M, pilihan perkhidmatan makanan halal ke bilik serta dapur yang diperakui halal.
Bagi memudahkan tetamu menunaikan solat, setiap bilik turut menyediakan penunjuk arah kiblat. Jika perlukan sejadah atau al-Quran, anda boleh memintanya daripada pihak hotel.
Ruang solat untuk lelaki dan wanita juga boleh disediakan mengikut permintaan tetamu.
Jadi, anda tak perlu terlalu pening memikirkan keperluan asas sepanjang menginap di sini. Selepas seharian berjalan-jalan, bolehlah pulang ke bilik untuk berehat dan mengumpul tenaga sebelum menyambung aktiviti keesokan harinya.
Hotel ini sesuai untuk pasangan, keluarga atau sesiapa sahaja yang mahukan penginapan lebih selesa sepanjang berada di Hong Kong.
6. Little Sheep Village Hot Pot Buffet – Pengalaman Makan Hot Pot Halal Yang Unik
Lokasi: Mong Kok, berhampiran Stesen MTR Yau Ma Tei
Selepas seharian berjalan dan meneroka bandar, tentu seronok kalau dapat duduk menikmati hidangan panas-panas bersama keluarga atau kawan-kawan.
Kalau anda peminat hot pot, jangan lepaskan peluang singgah di Little Sheep Village Hot Pot Buffet yang terletak di Mong Kok.
Restoran ini dikenali sebagai restoran hot pot bufet halal pertama di Hong Kong dan mempunyai pensijilan halal penuh. Semua bahan yang digunakan adalah halal dan alkohol juga tidak disajikan di premis.
Satu perkara yang membuatkan restoran ini berbeza ialah konsep conveyor belt atau tali sawat bergerak seperti yang biasa kita lihat di restoran sushi.
Pelbagai bahan seperti daging, makanan laut, bebola dan sayur-sayuran akan bergerak di hadapan meja anda. Jadi, tak perlu bersusah payah berulang kali ke kaunter bufet. Pilih sahaja bahan yang anda suka dan masukkan ke dalam periuk hot pot masing-masing.
Restoran ini turut menyediakan pilihan sup, hidangan sampingan, snek dan minuman untuk melengkapkan pengalaman makan.
Menariknya, konsep hot pot individu membolehkan setiap orang menikmati hidangan mengikut cita rasa sendiri. Kalau ada ahli keluarga yang suka pedas dan ada pula yang lebih gemar sup biasa, masing-masing boleh memilih pilihan yang disukai.
Lokasinya juga mudah dikunjungi kerana hanya sekitar dua minit berjalan kaki dari Stesen MTR Yau Ma Tei.
Bagi penggemar makanan, restoran ini memang patut dimasukkan dalam senarai tempat menarik di Hong Kong. Bukan sahaja dapat menikmati hot pot halal, malah pengalaman memilih bahan melalui tali sawat bergerak menjadikan waktu makan lebih menyeronokkan.
Hong Kong Semakin Mesra Untuk Pelancong Muslim
Melihat kepada enam lokasi ini, jelas bahawa Hong Kong bukan sekadar destinasi untuk membeli-belah atau menikmati taman tema. Bandar ini juga mempunyai pelbagai pilihan yang boleh memenuhi keperluan pelancong Muslim.
Anda boleh mengenali sejarah bandar di Hong Kong Museum of History, berseronok bersama anak-anak di Ocean Park, singgah menunaikan solat di Masjid Ammar dan menikmati dim sum halal.
Kalau mahu pengalaman yang lebih istimewa, ada Bauhinia Cruise dengan bufet halal dan pertunjukan Symphony of Lights. Untuk penginapan pula, InterContinental Grand Stanford menyediakan pelbagai kemudahan mesra Muslim, manakala Little Sheep Village menawarkan pengalaman hot pot halal yang unik.
Jadi, jangan terlalu cepat mengetepikan Hong Kong hanya kerana risau tentang makanan dan kemudahan solat. Dengan sedikit perancangan, anda boleh menikmati percutian yang menyeronokkan tanpa mengabaikan keperluan sebagai seorang Muslim.
Kalau sedang mencari tempat menarik di Hong Kong untuk percutian seterusnya, enam lokasi ini boleh menjadi permulaan yang baik untuk membina itinerari anda.
Sebelum berangkat, pastikan anda menyemak semula waktu operasi, kemudahan dan status pensijilan halal terkini setiap premis. Dengan cara ini, perjalanan anda akan jadi lebih lancar dan hati pun lebih tenang.
Soalan Lazim (FAQ) Mengenai Tempat Menarik Di Hong Kong
1. Apakah tempat menarik di Hong Kong yang mesra Muslim?
Antaranya ialah Ocean Park Hong Kong, Hong Kong Museum of History, Masjid Ammar, Bauhinia Cruise, InterContinental Grand Stanford dan Little Sheep Village Hot Pot Buffet.
2. Adakah mudah mencari makanan halal di Hong Kong?
Ya. Terdapat beberapa pilihan restoran halal seperti Islamic Centre Canteen yang menawarkan dim sum halal, Bayview Restaurant di Ocean Park dan Little Sheep Village Hot Pot Buffet.
3. Adakah Hong Kong menyediakan kemudahan solat untuk pelancong Muslim?
Ya. Antara lokasi yang menyediakan kemudahan solat ialah Masjid Ammar dan Ocean Park. Hotel InterContinental Grand Stanford juga menyediakan kemudahan seperti penunjuk arah kiblat, sejadah dan al-Quran atas permintaan.







