PETALING JAYA – Kerajaan meneruskan komitmen membantu golongan berpendapatan rendah menerusi agihan bantuan tunai secara berperingkat bermula hari ini.
Agihan pertama tahun ini melibatkan bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kategori kelayakan yang telah ditetapkan. Bantuan ini memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas tanpa pasangan di seluruh negara.
Kementerian Kewangan memaklumkan bayaran dibuat secara berperingkat terus ke akaun penerima yang layak, manakala mereka yang tiada akaun akan menerima secara kaedah tunai melalui saluran yang ditetapkan kerajaan.
Siapa layak terima Sumbangan Tunai Rahmah

Bantuan ini disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tanpa pasangan dengan pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah, termasuk golongan miskin serta miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.
Langkah penyasaran ini bertujuan memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, selaras dengan prinsip perlindungan sosial yang lebih bersasar.
Penambahbaikan bersama Sumbangan Tunai Rahmah dan Sara
Bagi tahun ini, kerajaan menyusun semula struktur bantuan dengan memperkukuh bantuan Sara secara bulanan sebagai sokongan asas berterusan, manakala STR diberikan secara tambahan setiap suku tahun.
Lebih lapan juta rakyat kini layak menerima Sara, termasuk 400,000 daripada kategori miskin dan miskin tegar. Pendekatan ini dilihat mampu memberi impak lebih stabil berbanding bantuan sekali beri.
Semakan ketat penerima Sumbangan Tunai Rahmah

Setiap permohonan baharu dan rayuan akan melalui proses verifikasi bersama pelbagai agensi bagi mengesahkan maklumat pendapatan serta status sosioekonomi pemohon.
Semakan berkala turut dilakukan setiap suku tahun melibatkan pemilikan kediaman, kenderaan, perniagaan dan rekod pekerjaan atau penempatan di luar negara bagi mengelakkan ketirisan.
Kerajaan menegaskan tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya terdapat maklumat palsu atau tidak tepat dalam permohonan.
Penerima dinasihat waspada berkaitan Sumbangan Tunai Rahmah
Orang ramai diingatkan agar berhati-hati terhadap mesej palsu atau cubaan penipuan yang menyamar sebagai pihak kerajaan.
Kementerian menegaskan bahawa tiada permintaan maklumat peribadi dibuat melalui SMS atau aplikasi pesanan, dan semua semakan hendaklah dilakukan hanya melalui saluran rasmi STR.







