Usahawan muda terkenal, Khairul Aming, sekali lagi membuktikan kredibiliti dan integritinya dalam dunia perniagaan apabila berjaya mencatatkan rekod jualan baharu yang luar biasa untuk produk terbarunya, Rendang Nyet Berapi. Dalam tempoh kurang daripada dua minit, jualan produk tersebut mencecah RM1.8 juta, menjadikannya antara pencapaian paling pantas dalam sejarah jualan makanan di Malaysia.
Lebih membanggakan, kejayaan ini disertai dengan pendirian tegas beliau untuk berniaga mengikut prinsip muamalat dalam Islam, iaitu mengelakkan sebarang unsur penipuan atau eksploitasi terhadap pelanggan.
Khairul Aming Terang Muamalat Islam Sebelum Jualan Rendang Nyet Berapi Bermula
Dalam sesi siaran langsung di TikTok sempena pelancaran produk tersebut, Khairul Aming yang berusia 33 tahun itu mengambil langkah awal menjelaskan syarat pembelian kepada penonton. Beliau menegaskan agar pelanggan membetulkan niat dan tidak membeli hanya kerana ingin memenangi hadiah percutian ke New Zealand yang ditawarkan kepada lima pembeli terpantas.
Tegas beliau, tujuan utama adalah untuk pelanggan menikmati kualiti rendang yang dihasilkan, bukan sekadar mengejar ganjaran sampingan. Pendekatan ini mendapat pujian ramai netizen yang menghargai ketelusan beliau sebagai seorang peniaga.
Khairul Aming Pecah Rekod RM1.8 Juta Dalam 2 Minit!
Mengimbas kembali detik pelancaran, sebaik sahaja jualan dibuka, 70,000 paket Rendang Nyet Berapi habis terjual dalam tempoh 30 saat, mencatatkan jumlah jualan RM1.2 juta. Tidak lama selepas itu, tambahan 30,000 paket dibuka untuk jualan dan habis licin dalam tempoh 48 saat, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 100,000 paket terjual dengan nilai RM1.8 juta.
Kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan kekuatan jenama Khairul Aming di pasaran, malah menjadi bukti kepercayaan tinggi pelanggan terhadap kualiti produknya.
Komitmen & Kerja Keras Pasukan Khairul Aming
Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman ini juga merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan dan pekerjanya yang bekerja tanpa mengenal penat lelah. Menurutnya, pembangunan Rendang Nyet Berapi mengambil masa setahun penuh dengan kerja berterusan tanpa cuti, demi memastikan produk mencapai standard kualiti yang ketat.
Beliau turut memberi jaminan bahawa proses penghantaran akan bermula pada hari berikutnya selepas pelancaran, selaras dengan komitmen untuk memastikan pelanggan menerima pesanan secepat mungkin.
Baca juga:
- Khairul Aming Buat Tuntutan Terhadap Peniruan Produk ‘Sambal Nyet’
- Khairul Aming Pemenang Utama dalam TikTok Awards MY 2023
Khairul Aming Sponsor Hadiah Percutian ke New Zealand
Sebagai tambahan kepada pelancaran yang meriah, Khairul Aming menaja sendiri percutian ke New Zealand untuk lima pembeli terpantas. Setiap pemenang berpeluang membawa seorang peneman, menjadikan 10 orang keseluruhan yang akan menikmati percutian tersebut pada Oktober depan. Tawaran ini dianggap unik kerana jarang sekali seorang usahawan memberikan hadiah mewah sebegitu secara peribadi.
Integriti Sebagai Kunci Kejayaan Khairul Aming
Keberanian Khairul Aming untuk menegakkan prinsip perniagaan beretika di era yang sering dipenuhi taktik pemasaran agresif telah mendapat penghormatan ramai. Dalam era media sosial yang kerap diselubungi promosi berlebihan dan maklumat mengelirukan, pendekatan beliau dianggap sebagai contoh teladan kepada usahawan muda lain.
Bagi ramai netizen, kejayaan ini bukan sekadar soal angka jualan, tetapi juga nilai integriti yang dipegang teguh. Prinsip bahawa “untung bukan alasan untuk menipu” menjadi mesej utama yang menyentuh hati ramai pengikutnya.