Petaling Jaya, 2 Nov 2024 – Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, menyuarakan pandangannya tentang prinsip perjuangan parti-parti politik di Malaysia yang semakin terhakis. Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, Razman menyatakan hanya PAS dan DAP sahaja yang masih teguh mempertahankan dan kekal prinsip politik dalam perjuangan mereka.
PAS dan DAP: Dua Parti Kekal Prinsip Politik
Menurut Razman, PAS dan DAP menonjol sebagai dua parti yang masih berpegang teguh pada matlamat asal mereka berbanding parti lain yang sudah tidak mempunyai prinsip. Beliau turut memuji ketegasan DAP dalam mencapai matlamat mereka, walaupun sering dikritik oleh pihak lain.
Razman juga mengulas mengenai UMNO, dengan menyatakan bahawa parti itu yang dahulunya merupakan jaguh Melayu namun kini telah hilang arah dan prinsip politiknya selepas menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Baca lagi | PAS Tidak Sebut Umno ‘Berkudis’ – Ahmad Fadhli Shaari
Persepsi PAS Sebagai Parti Ekstrem
Ketika diminta mengulas label ‘ekstrem’ yang sering diberikan kepada PAS, Razman menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa itu hanyalah persepsi pihak tertentu. Beliau menjelaskan bahawa negara-negara majoriti Islam umumnya memberikan keamanan kepada minoriti bukan Islam, dan perkara ini sering disalahfahami.
“Di Mesir, contohnya, 15 peratus penduduk bukan Islam hidup dalam keamanan. Di negara Arab juga ramai penganut Kristian yang hidup harmoni,” katanya.
Pas Kekal Prinsip Politik dalam Undang-Undang Hudud dan Maqasid Syariah
Razman turut menyentuh isu pelaksanaan undang-undang hudud yang menjadi bahan kritikan banyak pihak, termasuk DAP. Menurutnya, kritikan ini berpunca daripada kurangnya pemahaman tentang maqasid syariah. “Undang-undang Allah SWT adalah penyelesaian menyeluruh untuk menjaga keturunan, harta, dan akal fikiran,” jelasnya.
Razman memberikan contoh kes-kes seperti rogol, mencuri, dan mabuk untuk menerangkan betapa undang-undang Islam bertujuan melindungi masyarakat yang gagal difahami oleh masyarakat.
Baca lagi | Parti Rakyat India Malaysia Bersedia Menyertai Perikatan Nasional dengan PAS
‘Gelombang Hijau’ dan Label Taliban
Beliau turut mengulas persepsi ‘gelombang hijau’ yang sering dikaitkan dengan PAS. Razman menegaskan bahawa pihak lawan sengaja menggunakan istilah itu untuk menimbulkan ketakutan. Beliau menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak mengambil kira sejarah sebenar dan keamanan yang dibawa oleh Islam.
“Islam telah membuktikan keamanan di pelbagai negara yang majoritinya Islam. Hanya apabila pihak lain kalah, barulah muncul pelabelan negatif ini,” tegasnya.